KUCHING: Keperluan latihan bantuan pernafasan kecemasan (CPR) serta penggunaan peralatan Automated External Defibrillator (AED) semakin mendesak berikutan peningkatan kes penyakit jantung dan cabaran kesihatan mental yang kian meruncing dalam masyarakat moden.
Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Prof Dr. Sim Kui Hian, menegaskan bahawa kesedaran dan pendidikan mengenai CPR serta penggunaan AED amat penting kerana mampu menyelamatkan nyawa dalam situasi kritikal.
"Kesejahteraan mental amat penting dan akan menjadi semakin signifikan seiring dengan kepantasan gaya hidup masa kini. Dalam arus kemajuan, ramai yang tidak tahu dengan siapa mereka boleh berbicara. Akibatnya, mereka semakin berasa kesunyian dan terasing kerana tiada tempat untuk berkongsi,” ujar beliau.
Beliau yang juga Menteri Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan berkata demikian ketika merasmikan Program Latihan Kesihatan Mental dan Kemahiran Menyelamatkan Nyawa bertemakan “Mind, Heart & Hands: Empowering Wellness, Saving Lives” di sini pada Ahad.
Program yang menghimpunkan lebih 120 peserta itu menumpukan kepada kesedaran kesihatan mental melalui ceramah khas, selain latihan intensif CPR dan penggunaan AED yang dikendalikan jurulatih bertauliah daripada Bulan Sabit Merah Malaysia.
Dalam ucapannya, beliau turut menekankan bahawa kesejahteraan holistik melibatkan kesihatan minda dan jasmani, di samping memuji semangat kesukarelawanan belia yang menyumbang kepada pembinaan masyarakat lebih prihatin serta bersedia menghadapi kecemasan.
"Terdapat banyak perkara penting yang melibatkan minda dan hati, maka kedua-duanya perlu hadir bersama. Lebih utama, kita berkumpul di sini kerana rasa kasih dan sayang terhadap Sarawak. Inilah sebabnya anda semua berada di sini, dan ini juga merupakan sebahagian daripada usaha membina negara bangsa Sarawak,” jelas beliau.
Program ini dilihat sebagai platform penting dalam memperkasa belia Sarawak dengan ilmu serta kemahiran praktikal yang memberi impak positif kepada kesejahteraan masyarakat.-EDISI UKAS