Awla Seru Hayati Jiwa Merdeka Dengan Semangat Perpaduan

Disiarkan pada 24 Aug 2025
Sumber Berita: UKAS


SADONG JAYA: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Simunjan, Awla Dris menyeru rakyat agar terus menghayati semangat kemerdekaan dengan menjiwai nilai perpaduan, kasih sayang dan tanggungjawab bersama.

Menurut beliau, kemerdekaan negara bukanlah sesuatu yang dicapai dengan mudah, sebaliknya hasil daripada pengorbanan besar generasi terdahulu yang berjuang menentang penjajah dengan penuh keberanian.

“Kemerdekaan ini dibayar dengan darah, air mata dan keringat para pejuang tanah air.

“Sebab itu, sebagai generasi hari ini, kita mempunyai tanggungjawab untuk mempertahankan keamanan, memelihara perpaduan dan mengisi kemerdekaan dengan pembangunan yang berterusan,” tegasnya.

Beliau berkata demikian ketika berucap dalam Program Konvoi Kembara Merdeka Jalur Gemilang Jiwa@Komuniti Madani sempena Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia bagi kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Simunjan dan Gedong, anjuran Jabatan Penerangan (JaPen) Daerah Simunjan di Rumah Panjang Kampung Sungai Buluh, pada Ahad.

Beliau menegaskan bahawa perpaduan masyarakat berbilang kaum merupakan asas kekuatan Malaysia, justeru rakyat perlu menolak sebarang unsur kebencian, hasutan dan perpecahan.

“Rumah panjang ini adalah lambang semangat kekitaan, hidup bersama, saling menghormati dan saling membantu.

“Begitulah juga Malaysia, jika perpaduan kita rapuh, negara akan mudah goyah, tetapi jika kita kukuh bersama, tiada kuasa yang mampu memecah-belahkan kita,” ujarnya lagi.

Dalam pada itu, Awla turut merakamkan penghargaan kepada JaPen Daerah Simunjan selaku penganjur serta semua pihak yang menjayakan program berkenaan.

Beliau turut mengingatkan peserta konvoi agar menjadi duta kecil semangat kemerdekaan dengan menyebarkan mesej perpaduan, hormat dan keamanan ke mana sahaja mereka pergi.

Program konvoi tersebut disertai 14 kenderaan dengan 42 peserta terdiri daripada ahli komuniti Madani kawasan DUN Simunjan dan Gedong. Ia bertujuan membawa mesej patriotisme serta mengibarkan Jalur Gemilang ke seluruh pelosok kampung dan rumah panjang.

Sebagai simbolik pelancaran, Awla Dris turut melakukan flag off pelepasan konvoi yang berarak menuju ke beberapa kampung sebelum ke destinasi yang seterusnya iaitu Daerah Gedong.

Turut hadir, Pegawai Penerangan Daerah Simunjan Mohammad Subuh Jamali, Penghulu Zon Pangkor, Musa Pozi, Ketua Kaum Kampung Sungai Buluh Sili Bunsi dan Timbalan Ketua Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Cawangan Simunjan Bojeng Ali. -EDISI UKAS