Half Marathon Sarikei Disaran Dinaik Taraf Kepada Marathon Penuh

Disiarkan pada 24 Aug 2025
Sumber Berita: UKAS


SARIKEI: Penganjuran julung kali Half Marathon Jambatan Tun Tuanku Haji Bujang bukan sahaja mencatat penyertaan luar jangka seramai 1,800 peserta, malah membuka potensi baharu untuk menjadikannya acara berprestij bertaraf antarabangsa pada masa akan datang.

Timbalan Menteri Perancangan Bandar, Pentadbiran Tanah dan Alam Sekitar Sarawak, merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuala Rajang, Datuk Len Talif Salleh, berkata sambutan yang memberangsangkan itu membuktikan maraton semakin mendapat tempat dalam kalangan rakyat Sarawak.

“Berdasarkan sambutan kali ini, saya mahu acara ini diperbesarkan lagi. Malah, jika berpeluang, ia boleh dinaik taraf kepada maraton penuh sejauh 42 kilometer, sekali gus berpotensi menarik penyertaan pelari dari seluruh dunia,” katanya pada majlis penyampaian hadiah pemenang pada Ahad.

Acara yang menawarkan hadiah keseluruhan melebihi RM60,000 itu mempertandingkan tiga kategori utama iaitu 21 kilometer, 10 kilometer dan 5 kilometer, melibatkan kategori terbuka lelaki, wanita dan veteran.

Menurut Datuk Len, kerajaan negeri akan menyelaraskan penganjuran maraton di seluruh Sarawak agar tidak bertindih, sekali gus menjadikan acara seumpama ini sebagai tarikan pelancongan sukan baharu bagi negeri ini.

Acara yang mendapat tajaan utama daripada Ta Aan Holding Berhad itu turut melibatkan kerjasama pelbagai agensi kerajaan, badan bukan kerajaan (NGO), kelab dan individu.

Turut hadir pada majlis berkenaan ialah ADUN Meradong Datuk Ding Kuong Hiing, Timbalan Residen Bahagian Sarikei Badjuri Bidin serta ketua-ketua jabatan dan komuniti setempat.-EDISI UKAS