BETONG: Program Santunan Desa KEMAS 2025 (Aktiviti Eksplorasi Belia) Bahagian Betong telah dirasmikan oleh Ahli Parlimen Betong, Dato Dr. Richard Rapu dalam sebuah majlis yang berlangsung di Dewan Tan Sri Alfred Jabu, SMK St Augustine Betong pada Sabtu.
Majlis anjuran Jabatan Kemajuan Masyarakat (KEMAS) Bahagian Betong itu menghimpunkan seramai 100 belia dari sekolah, institusi kemahiran dan kelab belia setempat, dengan pelbagai pengisian berbentuk ilmu, kesukarelawanan, kepimpinan dan aktiviti riadah.
Dalam ucapan perasmiannya, Dato Dr. Richard menegaskan bahawa generasi muda merupakan sumber terbesar dan paling berharga bagi masa depan negara.
“Belia adalah cerminan masa hadapan dan aset penting yang mampu menyumbang dalam pelbagai sektor pembangunan. Dengan tenaga, semangat, kreativiti dan keberanian, belia berupaya membawa perubahan besar sekiranya diberi peluang yang sewajarnya,” katanya.
Beliau turut menyeru agar golongan belia tampil sebagai agen perubahan dan pemimpin berilmu, berakhlak serta progresif, seiring dengan cabaran dunia yang semakin mencabar.
“Kerajaan sentiasa komited memperkasa potensi anak muda melalui pelbagai inisiatif. Harapan kita ialah melihat belia bukan sahaja berjaya dalam kerjaya dan kehidupan, tetapi juga mampu memberi impak positif kepada masyarakat dan negara,” tambahnya.
Menurut Wakil Pegawai KEMAS Bahagian Betong, Sharifah Hafizah Wan Hamid, program kali ini menampilkan pelbagai pengisian seperti saringan kesihatan, senamrobik, ceramah kepimpinan, ceramah menangani stres, permainan tradisional & moden, serta ‘Patriotic Race’ berkonsep sejarah dan patriotisme.
Beliau menjelaskan penyertaan melibatkan belia dari SMK St Augustine Betong, CENTEXS Betong, serta Kelab Beliawanis Betong.
Majlis ini turut dihadiri oleh Pemangku Timbalan Residen Bahagian Betong, Hamdan Katang; Ketua Bahagian Siasatan Jenayah Daerah, ASP Mohd Fazirul Mohd Fisol; Wakil Pegawai Daerah Betong, Mohd Shahril Gasit; Pegawai CENTEXS Betong, Michael Melanyi Senin; Timbalan Pengerusi Kelab Beliawanis Betong, Fathin Mohd Razif; Temenggong Kueh Tu Teck; serta Pemancha Norman Ngumbang.
Program Santunan Desa KEMAS 2025 (Eksplorasi Belia) diyakini mampu menjadi pemangkin semangat kesukarelawanan, kepimpinan dan patriotisme, sekali gus memperkasa peranan belia sebagai tonggak pembangunan negara.-EDISI UKAS