BINTANGOR: Pasukan (Pertubuhan Belia Kebangsaan Bersatu Sarawak (SABERKAS) Cawangan Meradong bakal menggalas cabaran dalam acara tarik tali, pickleball dan fun run sempena Sukan KASUS SABERKAS Zon Tengah Sarawak yang akan berlangsung di SMI Park, Sibu pada 7 September depan.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Meradong merangkap Pengerusi SABERKAS Cawangan Meradong, Datuk Ding Kuong Hiing, hadir memberi kata semangat kepada para atlet dalam satu perjumpaan ringkas di Pusat Khidmat DUN Meradong pada Sabtu.
Beliau menzahirkan penghargaan kepada pasukan yang sudi mewakili SABERKAS Meradong, selain mengingatkan para peserta agar berusaha sebaik mungkin demi mengharumkan nama daerah.
“Gunakan peluang ini untuk mengeratkan hubungan, membina semangat berpasukan dan terus bekerjasama demi kejayaan bersama,” katanya.
Datuk Ding turut menegaskan bahawa kejayaan bukan sekadar kemenangan di gelanggang, sebaliknya terletak pada semangat kekeluargaan serta jalinan kerjasama yang terbina sepanjang penyertaan.
Dalam pada itu, SABERKAS Meradong turut mengumumkan akan menganjurkan Konvoi Motorsikal ke Pantai Belawai bersempena sambutan Hari Malaysia pada 16 September, diikuti dengan Hari Kekeluargaan SABERKAS Meradong sebagai usaha memperkukuh perpaduan ahli.-EDISI UKAS