DALAT: Program Bintulu Port Komunitiku Sayang Siri Ke-6 melabuhkan tirainya dengan penuh kejayaan di Kompleks Kebajikan Dalat, pada Sabtu sekaligus menegaskan komitmen Bintulu Port Holdings Berhad (BPHB) dalam memperkukuh hubungan dengan masyarakat luar bandar.
Majlis penutupan disempurnakan oleh Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Dalat, Dato Sri Fatimah Abdullah.
Dalam ucapannya, beliau menzahirkan penghargaan kepada BPHB serta Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak atas usaha menjayakan program yang memberi manfaat besar kepada masyarakat.
“Program ini bukan sahaja memberi ilmu secara teori, malah membolehkan peserta menjalani latihan praktikal yang sangat berguna. Ia melibatkan kerjasama erat pelbagai pihak, dan saya amat menghargainya,” katanya.
Dato Sri Fatimah turut mengumumkan berita gembira kepada penduduk Dalat apabila sebuah Balai Bomba dan Penyelamat baharu akan dibina di kawasan tersebut di bawah Rolling Plan Kelima (RP5) Rancangan Malaysia Ke-13, dijangka siap menjelang 2027.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan BPHB, Ruslan Abdul Ghani, menegaskan bahawa Komunitiku Sayang bukan sekadar program tanggungjawab sosial korporat (CSR), tetapi platform inklusif yang menyokong kesejahteraan komuniti.
“Penganjuran siri ke-6 ini melibatkan penyertaan 12 buah kampung. Kami memberi fokus kepada tiga aspek kritikal iaitu keselamatan kebombaan, kesihatan awam dan kelestarian alam sekitar. Inilah wadah kami membina masyarakat yang lebih berpengetahuan, selamat dan sejahtera,” jelasnya.
Sejajar dengan itu, sebanyak 150 unit alat pemadam api telah disumbangkan kepada komuniti Dalat.
Selain itu, Yayasan Bintulu Port turut menyumbangkan wang tunai kepada 10 masjid dan 13 surau bagi meningkatkan kemudahan serta kelengkapan rumah ibadat di kawasan tersebut.
Majlis turut dihadiri Residen Bahagian Mukah Datu Kueh Lei Poh, Timbalan Pengarah JBPM Negeri Sarawak Tiong Ling Hii serta Pengurus Besar Group Stakeholder Relations merangkap Pengelola Komunitiku Sayang Siri 6, Maslihah Tioh.-EDISI UKAS