ICats Performing Arts & Zaharamizatul Curi Tumpuan di FTLA Zon Selatan 2025

Disiarkan pada 24 Aug 2025
Sumber Berita: UKAS


LUNDU: Malam kedua Festival Tari dan Lagu Melayu Asli (FTLA) ke-35 Peringkat Zon Selatan 2025 di CENTEXS Kampus Lundu menyaksikan persembahan memukau apabila ICats Performing Arts dinobatkan sebagai juara kategori tarian manakala Zaharamizatul Azlan unggul sebagai johan nyanyian kategori wanita.

Kumpulan ICats Performing Arts memukau juri dan penonton dengan tarian penuh penghayatan sehingga melayakkan mereka membawa pulang hadiah wang tunai RM3,500.

Persembahan bertenaga mereka sekali gus menewaskan kumpulan Kasuma Tari yang meraih naib johan (RM2,500) dan Anak Seni Creation di tempat ketiga (RM1,500).

Dalam kategori vokal, Zaharamizatul tampil cemerlang dengan lontaran suara merdu dan kawalan vokal mantap, menjadikannya pilihan utama juri untuk meraih hadiah RM1,500.

Puteri Nabilah Jamaludin pula dinobatkan naib johan dengan hadiah sebanyak RM1,000 manakala Fatin Syaza Saari di tempat ketiga untuk hadiah sebanyak RM700.

Bagi kategori lelaki, Mohd Zakwan Sapuan mencuri perhatian dengan persembahan penuh emosi, sekaligus membawa pulang RM1,500 manakala Abdul Halim Hishamudin dan Hafizuddin Jamaluddin masing-masing menduduki tempat kedua dan ketiga untuk hadiah sebanyak RM1,000 dan RM700.

Kemenangan mereka bukan sahaja mengangkat bakat baharu dalam seni tari dan vokal Melayu Asli, tetapi juga membuktikan warisan budaya ini terus subur di hati generasi muda.

FTLA Zon Selatan 2025 yang dianjurkan Majlis Seni Sarawak (MSS) turut disaksikan oleh Datuk Amar Jamilah Anu, Pegawai Daerah Lundu Awang Yusup Awang Mostapha dan pemangku Ketua Pegawai Eksekutif Majlis Seni Sarawak Awang Ikman Awang Sepian.

Hadir sama, Timbalan Pegawai Daerah Lundu Anwar Fakhriyuddin dan Pemanca Allen Manium Enggang. -EDISI UKAS