KUCHING: Pengamal media boleh dilihat sebagai ‘senjata’ penting dalam mencorak pemikiran rakyat dan mengekalkan kebebasan negara.
Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Hal Ehwal Korporat, Penerangan dan UKAS), Datuk Abdullah Saidol, berkata pemain-pemain media sama dari agensi kerajaan atau swasta berperanan sebagai penghubung antara kerajaan dengan rakyat dalam membentuk minda masyarakat.
"Warga media ini memainkan peranan penting dalam mencorak kemerdekaan dan kebebasan di mana menjadi 'jambatan' antara masyarakat serta kerajaan menjadi platform yang boleh dikatakan 'senjata' dalam menentukan pemikiran rakyat kita," katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas Majlis Perasmian Program Komuniti Bersama UKAS di Tugu Pahlawan, di sini, pada Ahad.
Dalam pada itu, beliau memberitahu, warga media turut memikul tanggungjawab besar untuk memastikan keamanan negara terus terpelihara dan tidak mudah terjebak dengan kecenderungan mengejar perhatian sehingga lalai dalam mengendalikan isu sensitif.
Beliau juga menyeru agensi-agensi media agar lebih berhati-hati dalam menyiarkan laporan yang menyentuh sensitiviti masyarakat.
"Dalam sebuah masyarakat yang berbilang kaum, budaya, agama dan latar belakang sejarah, terdapat perkara-perkara tertentu yang kita perlu menjaga sensitiviti yang melibatkan isu kemanusiaan di mana terdapat komen yang tidak kena tempatnya," jelasnya. -EDISI UKAS