Bengkel Inovasi Bidar Lukut Tradisional 2025 Angkat Warisan Budaya Melanau

Disiarkan pada 24 Aug 2025
Sumber Berita: UKAS


MUKAH: Bengkel Inovasi Bidar Lukut Tradisional 2025 yang julung kali diadakan di Dewan Sri PEKALA, Kuala Lama, Mukah mencatat sejarah apabila menghimpunkan institusi pengajian tinggi, badan bukan kerajaan (NGO) dan komuniti setempat dalam usaha memartabatkan warisan budaya masyarakat Melanau.

Majlis perasmian disempurnakan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tellian, Royston Valentine pada Sabtu yang menegaskan bahawa penganjuran bengkel ini bukan sekadar program akademik, sebaliknya satu usaha pelestarian identiti dan budaya komuniti.

“Bidar Lukut adalah warisan unik masyarakat Melanau yang perlu terus diwarisi.

“Ia bukan sahaja aktiviti santai, tetapi turut menguji kebijaksanaan, kreativiti dan ketangkasan.

“Komuniti Mukah harus berbangga kerana sukan air ini berpotensi menjadi tarikan budaya dan pelancongan,” katanya.

Beliau dalam ucapannya turut mengingatkan masyarakat bahawa kerjasama adalah kunci kejayaan, dengan mengumpamakan Bidar Lukut yang tidak dapat bergerak tanpa lukut dan tiupan angin sebagai simbol perpaduan dalam komuniti.

Bengkel anjuran Pusat Penyelidikan Melanau Universiti Teknologi MARA (UiTM) dengan kerjasama Persatuan Melanau Mukah, Unit Saberkas Kampung Petanak (YUSAPET) dan Armada Generasi Warisan itu turut mendapat sokongan Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN).

Program ini diharap menjadi pemangkin kepada minat generasi muda untuk mewarisi tradisi Bidar Lukut agar tidak hilang ditelan arus pemodenan.-EDISI UKAS