Projek Tukun Fasa 2 Perkukuh Ekonomi Nelayan Mukah

Disiarkan pada 24 Aug 2025
Sumber Berita: UKAS


MUKAH: Projek Rakyat Tukun Fasa 2 yang dilaksanakan oleh Sarawak Forestry Corporation (SFC) diyakini mampu memperkukuh sektor perikanan sekali gus meningkatkan pendapatan nelayan di kawasan Mukah.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tellian, Royston Valentine berkata, sektor perikanan merupakan salah satu tulang belakang ekonomi masyarakat Mukah, sama ada bagi nelayan sungai mahupun nelayan laut.

“Sektor perikanan adalah salah satu sektor utama yang menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi penduduk di Mukah bermula dari nelayan sungai hinggalah kepada nelayan laut,” katanya ketika merasmikan Sesi Libat Urus SFC bersama pemegang taruh di Dewan CENTEXS Mukah, pada Sabtu.

Royston turut menekankan bahawa Projek Reef Ball yang menjadi sebahagian daripada usaha pemuliharaan marin bukan sahaja melindungi ekosistem laut, malah telah membawa nama Sarawak ke peringkat antarabangsa.

Menurutnya, pengiktirafan daripada Reef Ball Foundation USA terhadap Sarawak kerana berjaya membina terumbu karang buatan terpanjang di dunia merupakan bukti keberkesanan inisiatif ini.

Program libat urus berkenaan menjadi platform penyelarasan pandangan antara SFC, komuniti nelayan, agensi teknikal dan pihak berkepentingan lain agar pelaksanaan projek berjalan lancar serta memberi manfaat optimum kepada rakyat.-EDISI UKAS