Sarawak Perkukuh Agenda Digital dan Perkenal KETEQ AI

Disiarkan pada 24 Aug 2025
Sumber Berita: UKAS


SIBU: Sarawak terus mengorak langkah dalam transformasi digital dengan memperkenalkan KETEQ AI, peranti penukar kuasa pertama di dunia berasaskan kecerdasan buatan (AI) yang dibangunkan sepenuhnya oleh bakat tempatan.

Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak yang juga Presiden SABERKAS, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, AI kini menjadi teras penting dalam pembangunan teknologi kerana berupaya melengkapkan mesin dengan kemampuan untuk belajar serta meningkatkan prestasi melalui pembelajaran mesin.

“AI kini diaplikasikan dalam pelbagai sektor termasuk pentadbiran, pertanian, kesihatan dan keselamatan siber. Antara aplikasinya ialah automasi tugasan rutin, chatbot interaktif, sistem maklum balas automatik serta pengesanan ancaman siber,” katanya.

Beliau berucap demikian dalam teks ucapannya yang dibacakan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Assek, Chieng Jin Ek sempena Majlis Penangguhan Program Celik Kecerdasan Buatan (AI) SABERKAS Zon Tengah yang berlangsung di Dewan Perpustakaan Awam Sibu pada Sabtu.

Ia merupakan siri kedua selepas penganjuran di Zon Utara awal Ogos lalu.

Tegas Dato Sri Abdul Karim, data merupakan intipati utama AI, justeru kerajaan negeri melalui Rangka Tindakan Ekonomi Digital memberi penekanan terhadap pembangunan ekosistem data yang mantap.

“Tanpa data, AI tidak dapat berfungsi dengan berkesan. Oleh itu, Sarawak memberi fokus kepada pembangunan ekosistem data yang kukuh sebagai asas transformasi digital negeri,” ujarnya.

Selain itu, kerajaan katanya turut merancang menubuhkan Pusat AI Sarawak bagi memacu penyelidikan, pembangunan dan integrasi teknologi ke dalam infrastruktur digital.

Antara inisiatif utama yang dirangka termasuk AI untuk Pertanian Pintar, analitik prediktif kesihatan, grid pintar tenaga serta penubuhan Unit AI dalam perkhidmatan awam.

Jelas Dato Sri Abdul Karim lagi, pencapaian pembangunan KETEQ AI pula selaras dengan Pelan Hala Tuju Semikonduktor Sarawak 2030, yang memperkukuh aspirasi negeri menjadi hab teknologi tinggi rantau ini.

“Pencapaian ini membuktikan Sarawak bukan sahaja berusaha mencapai kecemerlangan dalam bidang teknologi, malah berhasrat muncul sebagai hab teknologi tinggi yang diiktiraf di peringkat global,” jelasnya.

Dalam pada itu, beliau turut menyeru belia SABERKAS untuk memanfaatkan ilmu sepanjang program tersebut.

“Sekiranya berkelapangan, kongsikanlah ilmu yang diperoleh dengan sahabat di luar sana supaya usaha kerajaan dan SABERKAS dalam membudayakan AI dalam kehidupan seharian dapat direalisasikan,” tambahnya.

Program yang dihadiri kira-kira 90 peserta termasuk 70 peserta dari 23 kawasan DUN ini dianjurkan oleh Jawatankuasa Kecil Sains, Teknologi dan Inovasi SABERKAS Sarawak dengan kerjasama SABERKAS Cawangan Bukit Assek. -EDISI UKAS