‘Cat, Coffee & Charity’ Semarak Nilai Kasih Sayang dan Kepedulian

Disiarkan pada 24 Aug 2025
Sumber Berita: UKAS


MIRI: Program Cat, Coffee & Charity anjuran Kelab Rakan Muda Bandaraya Miri bukan sahaja menyatukan peminat kucing, malah turut mengangkat budaya santai bersama kopi serta semangat kebajikan untuk membantu golongan memerlukan.

Datuk Bandar Bandaraya Miri merangkap ADUN Pujut menzahirkan penghargaan kepada pihak penganjur kerana berjaya menganjurkan program yang dianggap unik dan kreatif.

Menurutnya, penggabungan tiga elemen – kasih sayang terhadap haiwan, budaya kopi, dan kepedulian kebajikan – menjadikan program ini lebih dekat di hati masyarakat.

“Program ini bukan sahaja menjadi platform untuk peminat kucing berkumpul, malah membuka ruang untuk kita meningkatkan kesedaran tentang penjagaan haiwan peliharaan dengan penuh tanggungjawab,” katanya dalam teks ucapan yang dibacakan oleh wakilnya, Kaunselor Sean Huang pada majlis Cat, Coffee & Charity yang dianjurkan oleh Kelab Rakan Muda Bandaraya Miri di Moongrind Kingdom Cafe, di sini, pada Sabtu.

Beliau menambah, aktiviti amal yang dijalankan turut memberi manfaat kepada komuniti, khususnya mereka yang memerlukan sokongan dan bantuan.

Usaha sedemikian, katanya lagi, selaras dengan nilai masyarakat penyayang yang wajar dipupuk demi kesejahteraan bersama.

“Semoga dengan adanya program seperti ini, hubungan sesama manusia dan juga dengan haiwan peliharaan akan lebih erat, sejajar dengan semangat kasih sayang yang menyeluruh,” jelasnya.

Sehubungan itu, beliau menyeru orang ramai agar terus menyokong program-program kebajikan dan kemasyarakatan demi melahirkan masyarakat yang maju serta sarat dengan nilai kemanusiaan.

Turut hadir ialah Pegawai Belia Dan Sukan Bahagian Miri Roley Lagir, Timbalan Datuk Bandar Bandaraya Miri Kaunselor Ariffin Mohamad, dan Pengerusi penganjur Ahmad Al- Fakhrurradzie Ahmad Zaidi.-EDISI UKAS