LAWAS: Kejohanan Bola Sepak Mix Veteran Borneo Jemputan 8 Penjuru berlangsung meriah di Stadium Kompleks Sukan Lawas dengan penyertaan lapan pasukan veteran dari Sarawak, Sabah, Labuan dan Brunei.
Penganjuran kejohanan oleh MeVec FC Lawas berjaya menghimpunkan pasukan bola sepak veteran ternama, sekali gus memperkukuh jalinan silaturahim dalam kalangan pemain berusia serta mempromosikan Lawas sebagai destinasi pelancongan berasaskan sukan di utara Sarawak.
Antara pasukan yang mengambil bahagian ialah MeVec FC (Lawas), Frenz FC (Lawas), SJ All Frenz FC (Brunei), SBKK FC (Beaufort, Sabah), Pearl Island FC (Labuan), Kerabat Legend, SVFT dan VLBL.
Kejohanan ini turut menjadi platform persediaan awal menjelang penganjuran Kejohanan Bola Sepak Veteran Seborneo Piala Datuk Amar Awang Tengah Ali Hassan yang bakal berlangsung pada 25 hingga 26 Oktober 2025.
Perlawanan akhir menyaksikan Pearl Island FC dari Labuan dinobatkan sebagai juara, manakala Frenz FC (Lawas) muncul naib juara.
Tempat ketiga bersama pula dimenangi oleh MeVec FC (Lawas) dan SBKK FC (Beaufort, Sabah).
Pengadil dari Sabah dan Sarawak diberi tanggungjawab mengendalikan perlawanan sepanjang kejohanan bagi memastikan perjalanan pertandingan berjalan lancar serta profesional.
Majlis turut diserikan dengan kehadiran Ketua Pemuda Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Lawas, Durahman Salleh selaku tetamu kehormat yang hadir menyaksikan perlawanan berkenaan.
Turut hadir ialah Pengerusi Penganjur, Madun Nasip.-EDISI UKAS