MYSED Sokong Penganjuran Kejohanan Tinju Bagi Cungkil Bakat Muda

Disiarkan pada 23 Aug 2025
Sumber Berita: UKAS


SRI AMAN: Kementerian Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak (MYSED) menyokong penuh penganjuran kejohanan tinju di negeri ini sebagai platform mencungkil serta mengasah bakat-bakat muda dalam sukan berkenaan.

Setiausaha Tetap MYSED, Morshidi Fredrick berkata, kejohanan seperti ini bukan sahaja mampu memberi inspirasi kepada petinju muda, malah menjadi wadah untuk mereka mengetengahkan bakat ke peringkat yang lebih tinggi.

“Di pihak kementerian, kita memang mengalu-alukan pertandingan seperti ini diadakan sekerap mungkin untuk mencungkil dan mengasah bakat-bakat petinju muda.

“Agensi seperti Perbadanan Sukan Sarawak (SSC) dan Majlis Sukan Negeri Sarawak sentiasa mencari bakat baharu untuk diketengahkan mewakili negeri dalam kejohanan besar,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa berucap mewakili Menteri MYSED, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah dalam majlis penutupan Kejohanan Tinju Terbuka Sarawak Edisi Ke-4, yang berlangsung di Stadium Tertutup Sri Aman, pada Sabtu.

Menurut beliau, antara fokus utama adalah memastikan Sarawak mempunyai barisan petinju terbaik untuk mewakili negeri pada temasya Sukan Malaysia (SUKMA) di Selangor tahun depan.

Selain itu, beliau menegaskan bahawa penganjuran kejohanan tinju di peringkat Sarawak juga selaras dengan persediaan Sarawak sebagai tuan rumah Sukan SEA 2027.

“Sudah tentu kejohanan seperti ini memberi inspirasi dan menjadi sebahagian daripada persediaan kita untuk melahirkan atlet berkualiti bagi mewakili Sarawak, seterusnya Malaysia di pentas antarabangsa,” ujarnya.

Dalam kejohanan berkenaan, seramai 123 peserta telah mengambil bahagian termasuk dari Semenanjung Malaysia, Indonesia dan Singapura.

Hadir sama, Timbalan Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Sarawak merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Simanggang Datuk Francis Harden Hollis, ADUN Lingga Dayang Noorazah Awang Sohor, Presiden Persatuan Tinju Sarawak (SABA) Dato Rahman Lariwoo, Residen Bahagian Sri Aman Mahra Salleh serta tetamu kehormat yang lain. -EDISI UKAS