SRI AMAN: Cadangan pembinaan Pusat Tinju Negeri Sarawak di Sri Aman telah dikemukakan kepada Kementerian Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak (MYSED) untuk pertimbangan.
Menurut Timbalan Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Simanggang, Datuk Francis Harden Hollis, pihaknya mencadangkan agar pusat tinju itu dibina di tapak berkeluasan 5 ekar terletak bersebelahan Stadium Tertutup Sri Aman.
Katanya, apabila siap kelak, pusat latihan tinju itu akan turut dilengkapi dengan asrama lelaki dan wanita, dewan makan serta fasiliti lain.
"Pusat latihan tinju itu, kertas kerja disediakan dengan kos lebih kurang RM20 juta. Jadi kita masih menunggu-menunggu kelulusan.
"Dan saya percaya dengan sokongan yang padu, sokongan yang kuat dari Presiden Persatuan Tinju Negeri Sarawak (SABA) nanti, pusat latihan tinju di Sri Aman akan dilulus dan dibina dengan cepat.
"Sebab kita akan menggunakan pusat tinju ini untuk kita melatih petinju-petinju mewakili Sarawak di peringkat SUKMA nanti,” ujarnya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui media pada malam terakhir Kejohanan Tinju Terbuka Sarawak 2025 Edisi Ke-4 di Stadium Tertutup Sri Aman pada Sabtu.
Katanya, beliau berharap pusat tinju itu dapat disiapkan sebelum bermula Sukan SEA 2027 bagi membolehkan atlet yang mewakili Sarawak pada temasya itu menjalani latihan di situ.
Mengenai kos pembinaan, Datuk Francis Harden berkata, pihaknya akan mengemukakan permohonan kepada MYSED untuk kelulusan.
Sementara itu, Presiden SABA, Dato Rahman Lariwoo berkata pemilihan Sri Aman sebagai Pusat Latihan Tinju Negeri Sarawak adalah bertepatan mengambil kira kesesuaian geografinya.
"Kita mempunyai 14 pusat latihan dari Limbang hingga ke Kuching.
"Untuk pelatih-pelatih dari bahagian-bahagian lain daripada Miri, Limbang, Kanowit, Kapit, Sibu, Bintulu, mereka senang datang ke Sri Aman.
"Sri Aman juga banyak melahirkan petinju-petinju yang bagus untuk negeri Sarawak," katanya lagi.
Seramai 123 petinju mengambil bahagian dalam edisi kali ini termasuk dari Semenanjung Malaysia, Indonesia dan Singapura. - EDISI UKAS