BINTULU: Keupayaan menguasai pelbagai bahasa khususnya Mandarin akan menjadi kelebihan besar kepada Bumiputera Sarawak dalam menembusi pasaran global.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg berkata, dalam tempoh sedekad akan datang beliau menjangkakan lebih ramai Bumiputera di negeri ini fasih berbahasa Mandarin sejajar dengan peningkatan kemasukan pelajar Bumiputera ke sekolah aliran Cina.
“Sekarang semakin ramai anak Iban, Melayu dan Melanau mampu bertutur dalam bahasa Mandarin dengan baik. Ini menjadikan mereka lebih kompetitif.
“Bayangkan seorang Iban boleh memasarkan kelapa sawit terus ke China kerana mampu berbahasa Mandarin. Inilah kekuatan yang unik kepada Sarawak,” katanya ketika berucap semasa Majlis Makan Malam Jubli Perak Sekolah Menengah Kai Dee di pada malam Sabtu.
Sempena ulang tahun ke-25 sekolah itu, Premier Sarawak turut mengumumkan sumbangan sebanyak RM25,000, iaitu RM1,000 bagi setiap tahun usia penubuhan sekolah berkenaan.
Premier Sarawak menambah, kerajaan negeri konsisten menyokong pendidikan aliran Cina, termasuk mengiktiraf Sijil Peperiksaan Bersatu (UEC) serta menyalurkan peruntukan khas setiap tahun.
“Tahun lalu sahaja, kita telah agihkan RM10 juta untuk 14 buah sekolah Cina di seluruh Sarawak.
“Keseluruhan bantuan pendidikan yang disalurkan kepada sekolah-sekolah Cina kini berjumlah kira-kira RM92 juta termasuk RM22 juta kepada sekolah rendah dan menengah sehingga 2024,” jelasnya.
Beliau menambah, sokongan kerajaan negeri terhadap pendidikan Cina selari dengan dasar inklusif memperluaskan akses pendidikan tinggi, antaranya melalui pelaksanaan pendidikan percuma di universiti milik Sarawak bermula 2026.
Turut hadir, Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia, Dato Sri Tiong King Sing, Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Penyelaras Projek untuk Agensi Pembangunan Wilayah, Dewan Bandaraya Kuching Utara dan Hal Ehwal Islam), Datuk Dr Abdul Rahman Junaidi, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjong Batu, Johnny Pang Leong Ming, Pengerusi Eksekutif Kumpulan Syarikat Shin Yang, Tan Sri Datuk Ling Chiong Ho serta tetamu kehormat lain.-EDISI UKAS