LUNDU: Fiesta Gunung Gading 2025 yang berlangsung di Taman Negara Gunung Gading, di sini telah menerima sambutan menggalakkan dengan kehadiran lebih 400 orang pengunjung, terdiri daripada komuniti setempat, agensi kerajaan serta penggiat rekreasi.
Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Dato’ Sri Nancy Shukri berkata, program anjuran Kelab Sukan Rekreasi Tepian Gelanggang Kuching itu mampu menyemai rasa tanggungjawab dalam kalangan masyarakat terhadap pemeliharaan alam sekitar, sekali gus menggalakkan gaya hidup sihat melalui aktiviti mendaki dan rekreasi berasaskan alam semula jadi.
Sehubungan itu, beliau yang juga Ahli Parlimen Santubong berharap agar Gunung Gading akan terus menjadi destinasi utama ekopelancongan dan rekreasi yang memberi manfaat ekonomi kepada komuniti tempatan di sini.
Dato Sri Nancy berkata demikian ketika berucap menyempurnakan perasmian program tersebut pada Sabtu.
Hadir sama ialah Pegawai Daerah Lundu Awang Yusup Awang Mostopha, mantan Pesuruhjaya Sukan Malaysia Dato Suhardi Alias, Pengarah LPPKN Negeri Sarawak Jimbau Munggat dan Setiausaha Politik beliau, Mohammed Kamaluddin Mohd Effendie.
Pelbagai aktiviti menarik turut diadakan sepanjang program, antaranya Pertandingan Fotografi Menggunakan Telefon Bimbit, Senamrobik Perdana, Pertandingan Mewarna Kanak-Kanak, aktiviti dart 'Mari Mencoba', cabutan bertuah, pameran oleh agensi kerajaan, serta jamuan makan sebagai penutup acara.-EDISI UKAS