KUCHING: Program JIWA@Komuniti MADANI sempena Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia (HKHM) 2025 anjuran Jabatan Penerangan Malaysia (JAPEN) Sarawak menekankan peranan komuniti dalam mengukuhkan perpaduan sekali gus memupuk semangat patriotik.
Timbalan Perdana Menteri, Dato Sri Fadillah Yusof berkata, penganjurannya telah berjaya menggerakkan penglibatan aktif masyarakat setempat melalui pelbagai aktiviti yang merentasi sempadan etnik dan agama, sejajar dengan aspirasi Malaysia MADANI untuk mewujudkan masyarakat yang harmoni dan inklusif.
Menurut beliau, perpaduan nasional merupakan teras utama kejayaan negara yang harus dipupuk secara berterusan melalui pendekatan kerjasama antara kerajaan dan komuniti.
"Program ini memperlihatkan komitmen kerajaan dalam melaksanakan konsep 'Rakyat Disantuni' yang bukan sahaja sebagai slogan, tetapi diterjemahkan dalam pelaksanaan program-program yang menyentuh kehidupan harian masyarakat," katanya menerusi teks ucapan yang dibacakan oleh Setiausaha Politik beliau, Irwan Zulkarnain Muhd Hasbie
Irwan Zulkarnain hadir mewakili beliau menyempurnakan program tersebut di Dewan Komuniti TSDA Dr Sulaiman Hj Daud, Kampung Kolong 2, Petra Jaya, di sini pada Sabtu.
Turut hadir ialah Ketua Setiausaha Politik kepada Premier Sarawak, Dato Fazzrudin Abdul Rahman dan Timbalan Pengarah JaPen Sarawak, Kestury Mohammed Zamhari.
Dalam ucapan sama, Dato Sri Fadillah yang juga Ahli Parlimen Petra Jaya turut menyeru agar seluruh rakyat terutama komuniti di konstituensinya utnuk menyertai kempen #1Rumah1JalurGemilang sebagai manifestasi perpaduan dan semangat cintakan negara.
Selain itu, beliau juga mencadangkan pelaksanaan aktiviti gotong-royong pemasangan bendera, pertandingan hiasan kediaman bertemakan patriotik dan program kemasyarakatan lain untuk menyemarakkan lagi sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia.
Kejayaan program tersebut membuktikan bahawa pendekatan holistik yang menggabungkan inisiatif kerajaan dan penglibatan aktif komuniti merupakan asas kukuh dalam memupuk nilai patriotik dan perpaduan dalam kalangan rakyat Malaysia.-EDISI UKAS