Program Komuniti Cergas Luar Bandar Pupuk Gaya Hidup Sihat

Disiarkan pada 23 Aug 2025
Sumber Berita: UKAS


DARO: Program Komuniti Cergas Luar Bandar @ Daro anjuran Kementerian Belia dan Sukan Sarawak melalui Pejabat Belia dan Sukan Bahagian Mukah berlangsung meriah di Kampung Penasu apabila berjaya menghimpunkan lebih 250 peserta daripada pelbagai lapisan masyarakat.

Majlis perasmian telah disempurnakan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Daro, Safiee Ahmad pada Sabtu yang menekankan kepentingan sukan bukan sahaja sebagai medium meningkatkan tahap kesihatan, malah menjadi wadah terbaik untuk menyatukan masyarakat luar bandar.

Menurut beliau, kerajaan tidak pernah mengabaikan pembangunan masyarakat luar bandar kerana program seumpama ini menjadi bukti komitmen dalam memastikan rakyat di kawasan tersebut turut menikmati peluang yang sama untuk menyertai aktiviti bermanfaat.

"Program ini turut bertujuan untuk memupuk budaya gaya hidup sihat selain mengeratkan silaturahim dalam kalangan komuniti.

"Usaha tersebut juga membawa kesan positif dari aspek kesihatan, perpaduan serta pembangunan sosial," katanya dalam ucapan.

Di samping aktiviti riadah, penganjur turut melaksanakan Program Khidmat Komuniti Belia dan Safety Awareness yang memberi pendedahan mengenai kepentingan aspek keselamatan serta peranan belia dalam meningkatkan kesejahteraan masyarakat.

Antara acara yang mendapat sambutan hangat sepanjang program ialah tarik tali campuran, Street Soccer, Sepak Takraw, Senam Aerobik serta pelbagai acara sukaneka.

Suasana program bertambah meriah apabila penyertaan turut melibatkan golongan belia, wanita, ibu bapa dan warga emas yang jelas menampilkan semangat kesukanan serta kerjasama erat dalam kalangan penduduk.

Safiee turut merakamkan penghargaan kepada Kementerian Belia dan Sukan Sarawak serta Pejabat Belia dan Sukan Bahagian Mukah atas usaha menganjurkan program berkenaan.

Menurutnya, kesinambungan penganjuran seumpama ini akan terus membantu memupuk disiplin, semangat kesukarelawanan dan budaya hidup sihat khususnya dalam kalangan generasi muda.

Turut hadir pada majlis itu ialah Pengarah Jabatan Belia dan Sukan Sarawak Lamat Nyalau, Pegawai Daerah Daro Zul Usup, Guru Besar SK Kampung Penasu Dahlan Pamuda, Penghulu Keria Rabie, Ketua Kampung Daud Anuari, Tuai-Tuai Rumah serta kaunselor sekitar Kampung Penasu.

Secara keseluruhannya, Program Komuniti Cergas Luar Bandar @ Daro jelas membuktikan bahawa sokongan masyarakat, peranan belia serta perhatian kerajaan merupakan kunci utama dalam memperkukuh pembangunan sosial di kawasan luar bandar. – EDISI UKAS