BINTULU: Kerajaan Sarawak menjalin kerjasama strategik dengan Hospital Fudan, China dalam usaha memperkukuh bidang penyelidikan saintifik serta pembangunan ubat-ubatan baharu di negeri ini.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg berkata, langkah tersebut sejajar dengan aspirasi kerajaan untuk menjadikan Sarawak sebagai hab penyelidikan kesihatan di rantau ini, sekali gus meningkatkan kesiapsiagaan negeri menghadapi cabaran penyakit baharu.
“Sekarang kita berdepan dengan banyak masalah penyakit yang baharu.
“Sebab itu kerajaan Sarawak telah melaburkan RM300 juta untuk membangunkan makmal penyelidikan dengan kepakaran saintifik.
“Kerjasama dengan Hospital Fudan yang sedang meneroka trend ubat penyelidikan akan membuka ruang besar untuk kita,” katanya dalam sidang media selepas merasmikan penjenamaan semula Hospital Kemena Pasific di sini pada Sabtu.
Premier Sarawak menambah, usaha tersebut bukan sahaja berupaya meningkatkan keupayaan negeri dalam penghasilan ubat-ubatan baharu, malah memperbaiki sistem rawatan kesihatan, sekali gus memberi manfaat kepada rakyat dan para pelabur asing yang beroperasi di Sarawak.
Dalam pada itu, Datuk Patinggi Abang Zohari turut mengucapkan tahniah kepada Borneo Medical Centre (BMC) yang mengambil alih Columbia Hospital Bintulu dan menjenamakannya semula sebagai Kemena Pasific Hospital.
Beliau berkata, pengembangan operasi hospital swasta itu yang kini memiliki enam cawangan di Kuching, Sibu, Miri dan Bintulu akan melengkapkan lagi rangkaian perkhidmatan kesihatan di negeri ini.
“Perkembangan ini membuktikan bahawa sistem kesihatan swasta kita semakin giat berkembang.
"Dengan gabungan hospital awam dan swasta, kita dapat menyediakan perkhidmatan kesihatan yang lebih efisien serta mampu menampung keperluan pelaburan asing, khususnya di Bintulu,” ujarnya.
Hadir sama, Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Professor Dr Sim Kui Hian, Menteri Pelancongan, Seni Dan Budaya Malaysia Dato Sri Tiong King Sing, Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah Sarawak Dato Sri Dr Stephen Rundi Utom, Menteri Di Jabatan Premier Sarawak Dato Sri John Sikie Tayai, Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Penyelaras Projek untuk Agensi Pembangunan Wilayah, Dewan Bandaraya Kuching Utara dan Hal Ehwal Islam) Datuk Dr Abdul Rahman Junaidi, Residen Bahagian Bintulu Datu Nyurak Keti, Pengurus Besar Borneo Medical Group Dr. Peter Tang Ing Bing, Chief Medical Services Of Kemena Pasific Hospital, Dr. Thomas Lau Yun Guan serta tetamu yang lain.-EDISI UKAS