BINTULU: CRAUN Research Sdn. Bhd. melakar sejarah tersendiri apabila melancarkan secara rasmi FERTARA, baja sebatian seimbang yang diformulasi khas untuk menyokong pertumbuhan awal pokok sagu (Metroxylon sagu).
Pelancaran berkenaan telah disempurnakan oleh Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg sempena Sarawak Agrofest 2025 yang berlangsung di Tapak Lapangan Terbang Lama, di sini, pada Sabtu.
Menurut kenyataan CRAUN, FERTARA merupakan hasil penyelidikan menyeluruh selama 20 tahun (2003–2023) yang diketuai oleh Pegawai Penyelidik Kanan, Fariza Zaini bersama Peter Stanley Howell, dengan sokongan awal daripada pakar agronomi ternama, Prof. Zaharah Abdul Rahman dari Universiti Putra Malaysaia (UPM) dan Tayeb Dolmat Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB).
CRAUN menjelaskan, penilaian lapangan membuktikan bahawa FERTARA mempercepatkan perkembangan batang berbanding dengan baja sebatian lain yang terdapat di pasaran pada masa ini.
“Kajian lapangan berskala besar telah dijalankan di ladang sagu milik Lembaga Pembangunan dan Lindungan Tanah (PELITA) di Mukah, Stesen Penyelidikan Sungai Talau di Dalat serta kebun sagu milik pekebun kecil.
“Projek ini dibiayai sepenuhnya oleh Kerajaan Sarawak sebagai sebahagian daripada usaha untuk meningkatkan produktiviti dan kualiti pengeluaran sagu yang merupakan warisan serta sumber ekonomi penting bagi Sarawak,” kata kenyataan tersebut.
CRAUN menegaskan bahawa, formulasi FERTARA telah difailkan untuk perlindungan paten dengan Perbadanan Harta Intelek Malaysia (MyIPO).
“Pencapaian ini membuktikan bagaimana Penyelidikan dan Pembangunan (R&D) jangka panjang CRAUN telah diterjemahkan kepada produk yang dipatenkan dan dikomersialkan, selaras dengan visi Strategi Pembangunan Pasca-COVID-19 (PCDS) 2030 yang memanfaatkan data dan inovasi bagi memacu pertumbuhan ekonomi,” tambahnya.
Baja ini akan dikilangkan oleh Sarawak Fertilizer Sdn. Bhd., sebuah syarikat tempatan yang berpengalaman dalam pengeluaran baja berkualiti tinggi.
Ia bakal dipasarkan kepada pekebun kecil sagu, agensi pembangunan serta pemain industri sagu di seluruh negeri.
Dalam majlis yang sama, telah berlangsung satu upacara simbolik penyerahan baja FERTARA daripada pihak CRAUN kepada Lembaga Pembangunan Sagu dan Nipah Sarawak (SNDB).
Penyerahan itu telah disempurnakan oleh Timbalan Setiausaha Tetap Kementerian Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Sarawak (MEITD), Anielia Siam mewakili CRAUN, manakala SNDB diwakili oleh Pengurus Besar, Zaidell Hussaini.
Penyerahan baja FERTARA ini menzahirkan kerjasama strategik CRAUN–SNDB dalam memperkasakan pekebun kecil dan penggiat industri sagu.-EDISI UKAS
Foto: FACEBOOK CRAUN Research Sdn. Bhd.