Program Jualan Amal St. James’s Parish Sale berlangsung meriah

Posted on 23 Aug 2025
Source of News: UKAS


BINTANGOR: Suasana meriah menyelubungi Majlis St. James’s Parish Sale yang berlangsung di Parish Hall St. James’s Church, Bintangor, hari ini dengan kehadiran masyarakat setempat pelbagai lapisan.

Majlis perasmian disempurnakan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Meradong, Datuk Ding Kuong Hiing, yang turut mengumumkan beberapa sumbangan penting untuk manfaat gereja dan penganut.

Dalam ucapannya, Datuk Ding menekankan bahawa hasil jualan akan dimanfaatkan untuk aktiviti tahunan gereja serta menaik taraf prasarana.

Beliau juga mengumumkan peruntukan Projek Transformasi Luar Bandar (RTP) bagi kerja naik taraf Parish Hall termasuk pemasangan pintu baharu, kerja mengecat dan pemasangan penghawa dingin.

Selain itu, beliau menyalurkan Geran Projek Kecil Luar Bandar (MRP) bernilai RM5,000 kepada pihak gereja bagi melaksanakan program serta aktiviti tahunan 2025.

Datuk Ding berharap majlis seumpama ini dapat mengukuhkan semangat kebersamaan dalam kalangan penganut dan masyarakat setempat.

“Majlis seperti ini bukan sahaja menjadi wadah untuk mengumpul dana, tetapi juga mengeratkan hubungan silaturahim dan menghidupkan suasana kemasyarakatan,” katanya.

Turut hadir memeriahkan program ialah Pastor Jaol Galang serta beberapa Tuai Rumah dari daerah Meradong. — EDISI UKAS