Warga Emas Sehelai Sepinggang, Rumah Musnah Dalam Kebakaran

Posted on 23 Aug 2025
Source of News: UKAS


KUCHING: Seorang warga emas kehilangan tempat berteduh selepas rumahnya di Jalan Tunku Yassin, di sini, musnah sepenuhnya dalam kebakaran baru-baru ini.

Mangsa, Azhar Jenal, 60 tahun, yang tinggal bersendirian, hanya mampu melihat kediamannya hangus dijilat api dan semua harta benda musnah.

Menurut Jabatan Bomba dan Penyelamat, 100 peratus rumah tersebut musnah, namun tiada kemalangan jiwa dilaporkan.

Prihatin dengan nasib yang menimpa, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tupong, Dato Fazzrudin Abdul Rahman, hadir menziarahi Azhar dan menghulurkan bantuan segera.

“Kerajaan Sarawak sentiasa memberi perhatian kepada kebajikan rakyat dan kita akan pastikan mangsa mendapat pembelaan sewajarnya melalui kerjasama dengan agensi berkaitan,” katanya.

Beliau turut menegaskan bantuan susulan akan disalurkan bagi meringankan beban mangsa. —EDISI UKAS