BEKENU: Tilawah Al-Quran bukan sekadar medan pertandingan, tetapi turut menjadi platform penting dalam memperkukuh penghayatan terhadap ajaran Islam serta mempererat ukhuwah dalam kalangan masyarakat pelbagai lapisan.
Timbalan Menteri Pembangunan Wanita dan Kanak-Kanak Sarawak merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bekenu, Datuk Rosey Yunus berkata, penganjuran tilawah seperti ini adalah selari dengan usaha berterusan kerajaan dalam memartabatkan Al-Quran sebagai panduan utama kehidupan umat Islam.
“Majlis Tilawah Al-Quran sebegini merupakan antara langkah strategik kerajaan untuk memartabatkan kitab suci Al-Quran.
“Atas dasar itu, kerajaan sentiasa menggalakkan penganjuran program-program berteraskan Al-Quran yang dapat memupuk kecintaan serta penghayatan terhadap isi kandungannya.
“Dengan itu, penglibatan masyarakat dalam apa sahaja usaha untuk benar-benar menjayakan program sebegini, amatlah mustahak, agar kandungan Al-Quran itu sentiasa dihayati dan menjadi panduan cara hidup.
“Ia juga menjadi ruang terbaik untuk memperkukuhkan pembangunan insan berasaskan nilai keagamaan yang progresif,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa berucap dalam Majlis Penangguhan Tilawah Al-Quran Peringkat Bahagian Miri 1447H/2025M yang diadakan di Masjid Al-Muttaqin, Bekenu, pada Jumaat.
Mengulas lanjut, beliau menegaskan bahawa Al-Quran merupakan asas kekuatan umat Islam dan panduan hidup yang wajib difahami serta diamalkan secara menyeluruh dalam semua aspek kehidupan.
“Al-Quran bukan sahaja sebagai petunjuk yang memandu manusia ke jalan lurus dan diredhai Allah, malah ia juga adalah penawar kepada pelbagai penyakit yang bersarang di hati manusia.
“Maka, umat yang berpegang teguh dengan Al- Quran, nescaya mendapat bimbingan untuk menikmati kebahagiaan dan berjaya dalam hidup di dunia dan akhirat,” katanya lagi.
Datuk Rosey turut menyeru agar perpaduan, keharmonian dan kestabilan dalam masyarakat terus dipelihara dan diperkukuh tanpa mengira agama dan bangsa, seperti mana yang dianjurkan dalam kitab suci Al-Quran.
Tilawah ini menyaksikan penyertaan seramai 28 peserta yang terdiri daripada 16 peserta kategori remaja dan 12 peserta kategori dewasa dari daerah Baram, Subis dan Miri.
Bagi Kategori Dewasa Qari, Johan dimenangi oleh Muhamad Izzat Mukhali dari Miri, Naib Johan disandang Hamim Mohd Shahib (Miri), manakala tempat Ketiga dimenangi Mustapha Amru Ruduan dari Marudi.
Sementara itu, bagi Kategori Dewasa Qariah, tempat Johan diraih Farra Liza Mohammad Musa (Miri), Naib Johan Nurul Izzah Mukhali (Miri), dan Ketiga Nur Shafini Abd Ghani (Miri).
Dalam Kategori Remaja Lelaki, Johan ialah Mohammad Nur Aiman Syahmie Mohammad Ramdan, Naib Johan Muhammad Daniel Zulfayrie Jawatan, dan Ketiga Erwan Amzar Amli.
Manakala Kategori Remaja Perempuan menyaksikan Nur Salsabila Mohd Shahriansyah muncul sebagai Johan, diikuti Nur Qiesya Zharifah Mohammad Ramdan (Naib Johan) dan Syarifah Qisya Qairyna Wan Ishak di tempat Ketiga.
Pemenang kategori dewasa membawa pulang hadiah wang tunai berjumlah RM1,500 (Johan), RM1,000 (Naib Johan)dan RM800 (Ketiga).
Manakala pemenang kategori remaja menerima RM500 (Johan), RM400 (Naib Johan) dan RM300 (Ketiga), masing-masing turut menerima sijil penghargaan.
Antara yang turut hadir memeriahkan majlis ialah Timbalan Residen Bahagian Miri Bujang Rahman Seli, Pegawai Daerah Subis Norlila Ulis, Pegawai Agama Islam Bahagian Miri Shamsudin Basir, Temenggong Abg Mohamed Dato’ Sri Abg Othman dan Pemanca Dr Ali Mudin.-EDISI UKAS