KUCHING: SMD IC Design Make-A-Thon 2025 bukan sekadar pertandingan, tetapi merupakan manifestasi komitmen Kerajaan Sarawak untuk membentuk ekosistem bakat tempatan dalam bidang teknologi tinggi seperti reka bentuk litar bersepadu (IC).
Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat, Dato Sri Roland Sagah Wee Inn berkata program tersebut merupakan sebahagian daripada usaha berterusan kerajaan untuk memperkasa penglibatan golongan muda dalam bidang IC, selaras dengan aspirasi negeri untuk muncul sebagai hab teknologi dan inovasi di rantau ini.
“Program ini lebih daripada sekadar pertandingan; Ia mewakili visi kami yang lebih besar untuk meletakkan Sarawak bukan sahaja sebagai wilayah yang kaya dengan sumber, tetapi sebagai pemimpin yang kaya dengan bakat dalam ekonomi digital global,” katanya dalam majlis perasmian penutupan SMD IC Design MAKE-A-THON 2025 di Universiti Swinburne, di sini, pada Sabtu.
Dato Sri Roland Sagah turut menekankan kepentingan reka bentuk IC dalam dunia moden, yang menjadi asas kepada hampir semua peranti dari telefon pintar hingga ke satelit.
“Keupayaan untuk mereka cip, mensimulasikan dan membina ‘otak’ kepada teknologi masa depan bukan lagi hak eksklusif syarikat gergasi dunia.
“Sarawak kini menunjukkan bahawa kita juga mampu menjadi arkitek kepada kejayaan teknologi global,” jelas beliau lagi.
Beliau turut memuji keterlibatan para pelajar yang menunjukkan semangat ingin tahu, disiplin dan kreativiti dalam menempuh cabaran teknikal sepanjang Make-A-Thon ini berlangsung.
Mengulas mengenai tema program “Intelligence Within”, Dato Sri Roland menyifatkan ia sebagai cerminan tepat terhadap potensi sedia ada yang dimiliki oleh Sarawak.
“Bakat itu sudah ada di sini, dalam diri pelajar-pelajar kita. Apa yang kita perlukan adalah platform, bimbingan dan keyakinan untuk mencungkilnya,” jelas beliau sambil menyatakan keyakinan bahawa peserta Make-A-Thon suatu hari nanti akan memimpin pasukan reka bentuk, menubuhkan syarikat permulaan, malah merangka dasar teknologi negara.
Beliau menyeru semua pelajar dan mentor untuk terus berani mencabar sempadan ilmu, manakala para pemimpin industri dan akademia pula diminta untuk kekal komited dalam memacu kerjasama yang berterusan.
Make-A-Thon tahun ini menobatkan Elepulse Breaker sebagai juara, yang memenangi hadiah wang tunai RM5000.
Pemenang dari Miri dan Sibu IC Design Make-A-Thon turut hadir untuk menerima hadiah utama RM5000 mereka iaitu pasukan Dabai Future (Sibu) dan SainsRian (Miri).
Turut hadir dalam majlis ini ialah Ketua Pegawai Eksekutif SMD Semiconductor, Shariman Jamil.-EDISI UKAS