KAPIT: Program Jum REGISTA Bisnes anjuran Kementerian Perdagangan Antarabangsa, Industri dan Pelaburan (MINTRED) Sarawak dengan kerjasama SEDC, Pejabat Residen dan Pejabat Daerah Kapit berjaya menarik lebih 300 penyertaan.
Program berlangsung di Dewan Suarah Kapit pada Sabtu dirasmikan oleh Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Undang-Undang dan Adat Bumiputera) merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Goram, Datuk Jefferson Jamit Unyat.
Dalam ucapannya, beliau menegaskan bahawa pendaftaran perniagaan adalah langkah utama untuk memastikan usahawan terus berdaya saing.
Katanya, sejak diperkenalkan, program Jum REGISTA telah membantu seramai 5,667 usahawan seluruh Sarawak, termasuk 388 usahawan baharu dari Kapit pada edisi terdahulu.
Selain mendaftarkan perniagaan, peserta turut diberi pendedahan mengenai aspek pengurusan serta maklumat mengenai bantuan kewangan daripada agensi dan institusi keusahawanan.
Menurut Datuk Jefferson, kerajaan negeri melalui MINTRED turut menyediakan pelbagai inisiatif kepada Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS) termasuk Program Graduan ke Arah Keusahawanan (GERAK), Usahawan Teknikal & Vokasional (USTEV), Program Go Digital, Skim Kredit Mikro Sarawak (SKMS), Skim Pinjaman Industri Kecil dan Sederhana (SPIKS) serta program pembangunan kapasiti dan promosi.
Sehingga suku kedua 2025, seramai 41,800 PMKS di seluruh Sarawak telah menerima manfaat bernilai RM204 juta, manakala 254 usahawan di Kapit menerima bantuan dengan jumlah keseluruhan RM4.2 juta.
Selain itu, Kapit turut menikmati pembangunan infrastruktur apabila MINTRED menyiapkan Taman Perindustrian Kapit seluas 19 hektar untuk kegunaan PKS tempatan selain merancang Anjung Usahawan Song.
“Kerajaan Sarawak sentiasa komited membantu usahawan meningkatkan kemahiran, produk serta perkhidmatan agar mampu bersaing hingga ke peringkat global,” katanya.
Majlis turut diserikan dengan lawatan Datuk Jefferson ke tapak pameran usahawan yang diadakan bersebelahan dewan.
Keseluruhan program berlangsung lancar dan mencapai objektif memperkasa usahawan tempatan.-EDISI UKAS