Sarawak Rangka Undang-Undang Urus Sisa Sawit Hujung Tahun Ini

Posted on 23 Aug 2025
Source of News: UKAS


BINTULU: Kerajaan Sarawak akan memperkenalkan undang-undang baharu hujung tahun ini bagi mengawal selia pengurusan sisa kelapa sawit di tanah Hak Adat Bumiputera (NCR).

Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg berkata, langkah itu penting kerana hasil sampingan kelapa sawit seperti palm kernel mempunyai nilai ekonomi yang tinggi, antaranya boleh dijadikan baja, makanan haiwan dan biogas.

Namun jelasnya, ketika ini sisa sawit berkenaan dijual secara berselerak tanpa kawalan sehingga merugikan potensi besar untuk dimanfaatkan secara menyeluruh.

“Jika kawasan NCR digunakan untuk kelapa sawit, hasil sampingan seperti kernel boleh dijadikan makanan haiwan.

“Tetapi masalah sekarang, tiada undang-undang untuk mengurus sisa ini dan ada yang menjual secara berselerak.

“Kita perlukan undang-undang yang memastikan semua sisa sawit ini dikumpulkan.

“Dengan cara itu, ia boleh dijadikan baja, makanan haiwan, dan juga biogas,” katanya ketika mengadakan Sidang Media selepas merasmikan Sarawak Agrofest 2025 di sini pada Sabtu.

Beliau memaklumkan bahawa Pejabat Peguam Negara kini sedang merangka perundangan berkenaan dan ia dijangka diumumkan menjelang penghujung tahun.

“Insya-Allah, hujung tahun ini Peguam Negara sedang merangka undang-undang khusus untuk tujuan tersebut,” ujarnya.

Oleh itu, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Zohari yakin pelaksanaan undang-undang baharu itu akan memperkukuh agenda keselamatan makanan Sarawak, menyokong pembangunan industri ternakan moden, selain meningkatkan pendapatan masyarakat luar bandar melalui pendekatan ekonomi kitaran.-EDISI UKAS