BINTULU: Kerajaan Sarawak bersedia membantu golongan petani melalui penyediaan jentera pertanian dalam usaha merancakkan sektor pertanian seiring dengan teknologi moden.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg berkata jentera pertanian tersebut diberikan kepada Persatuan Peladang Negeri Sarawak untuk dimanfaatkan petani-petani di Sarawak.
“Persatuan Peladang akan mengurusnya dan boleh digunakan petaninya dengan harga sewaan berpatutan bagi membantu golongan petani.
“Jadi petani kita dapat menggunakan jentera tanpa menggunakan cangkul lagi,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Sarawak Agrofest Festival di Lapangan Terbang Lama Bintulu pada Sabtu.
Hadir sama, Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Professor Dr Sim Kui Hian, Speaker Dewan Undangan Negeri Sarawak Tan Sri Datuk Amar Mohamad Asfia Awang Nasar, Menteri Pelancongan, Seni Dan Budaya Malaysia Dato Sri Tiong King Sing, Menteri Industri Makanan, Komoditi Dan Pembangunan Wilayah Sarawak merangkap Menteri Bertanggungjawab Majlis Perasmian Sarawak Agrofest 2025 Dato Sri Dr Stephen Rundi Utom serta dif-dif kenamaan yang lain.-EDISI UKAS