Sarawak Perkukuh Agenda Keselamatan Makanan, Teroka Teknologi Brazil

Posted on 23 Aug 2025
Source of News: UKAS


BINTULU: Kerajaan Sarawak terus memperkukuh agenda keselamatan makanan negeri dengan memperkenalkan teknologi moden dalam sektor pertanian dan ternakan, termasuk melalui kerjasama strategik bersama Brazil.

Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg berkata, Brazil telah muncul sebagai antara pengeluar makanan terbesar dunia hasil penerapan teknologi moden berskala besar, dan Sarawak wajar mencontohi kejayaan itu untuk berdiri setaraf di peringkat global.

“Saya kata, pergi Brazil ambil teknologinya. Teknologinya ambil dan kita kerjasama dari sudut teknologi daripada Brazil.

“Memang Brazil adalah sebuah negara terkemuka dari sudut makanan di Amerika Selatan.

“Kalau Brazil berjaya, Denmark ada Nestlé, biarlah Sarawak mempunyai tempatnya di persada dunia dalam industri makanan,” katanya ketika berucap merasmikan Sarawak Agrofest Festival di Lapangan Terbang Lama Bintulu, Sabtu.

Sementara itu, Menteri Pemodenan Pertanian dan Pembangunan Wilayah Sarawak, Dato Sri Dr Stephen Rundi Utom menjelaskan, Brazil telah dikenal pasti sebagai rakan strategik untuk dipelajari kaedah penternakan moden, khususnya teknologi inseminasi buatan bagi meningkatkan baka lembu Zebu di Sarawak.

“Mereka mempunyai lebih 240 juta ekor lembu, jumlah yang amat besar berbanding kapasiti kita.

“Kita mahu menggunakan frozen sperm dan membawa masuk teknologi artificial insemination supaya kita dapat meningkatkan baka lembu di Sarawak.

“Malah, Menteri Pertanian Brazil telah bersetuju untuk membolehkan pegawai-pegawai kita dihantar ke sana bagi tujuan latihan dan pembelajaran,” katanya.

Beliau menambah, baka lembu Zebu yang asalnya dari India kini lebih banyak diternak di Brazil berbanding negara asalnya, membuktikan adaptasi teknologi mampu menghasilkan kejayaan yang lebih besar.

Dato Sri Dr Stephen turut menegaskan bahawa langkah ini adalah sebahagian daripada strategi menyeluruh Sarawak untuk meningkatkan tahap sara diri (SSL) makanan negeri dan sekali gus mengurangkan kebergantungan terhadap import.-EDISI UKAS