BINTULU: Sarawak akan memperluas peranan syarikat penerbangan AirBorneo dengan menggunakan pesawat ATR yang diubah suai sebagai pesawat kargo bagi mengeksport hasil pertanian ke pasaran luar bermula di Singapura.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg berkata, langkah tersebut selaras dengan usaha kerajaan negeri memperkukuh sektor pertanian melalui sokongan logistik moden.
“Kerajaan Sarawak melalui AirBorneo akan menyediakan pesawat ATR yang diubahsuai bagi tujuan kargo untuk membawa hasil pertanian ke pasaran luar, terutamanya Singapura,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan Sarawak Agrofest 2025 di Lapangan Terbang Lama Bintulu pada Sabtu.
Premier Sarawak menambah, kerajaan negeri telah mengenal pasti kawasan Tanjung Manis sebagai hab pengeluaran utama, antaranya untuk tanaman nanas, sebelum dieksport ke Singapura.
“Kawasan Tanjung Manis akan menjadi pusat pengeluaran, dan produk seperti nanas akan dieksport ke Singapura yang seterusnya berperanan sebagai pusat pengagihan,” jelasnya.
Premier Sarawak menegaskan, inisiatif itu sejajar dengan aspirasi kerajaan negeri untuk meletakkan Sarawak sebagai pemain penting dalam industri makanan serantau.
“Jika negara seperti Brazil dan Denmark berjaya dalam industri makanan mereka, Sarawak juga perlu menempatkan diri di persada dunia dalam bidang ini,” tegasnya.
Tambahnya, usaha tersebut bukan sahaja memperkukuh sektor pertanian negeri, malah membuka peluang pendapatan baharu kepada rakyat melalui pasaran eksport yang lebih luas.- EDISI UKAS