Sultan Selangor Berkenan Tubuh Kursus Veterinar di UPM Sarawak, Lahir Lebih Ramai Doktor Haiwan

Posted on 23 Aug 2025
Source of News: UKAS


BINTULU: Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah Al-Haj berkenan dengan cadangan Universiti Putra Malaysia (UPM) Kampus Bintulu untuk mewujudkan kursus berkaitan bidang veterinar terbesar di Malaysia.

Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg berkata, langkah tersebut penting untuk melahirkan lebih ramai graduan dalam bidang kedoktoran haiwan di negeri ini.

“Memang benar, Sultan Selangor berkenan semasa sesi perbincangan tersebut di mana Sarawak mempunyai potensi besar dalam bidang pertanian dan penternakan.

“Oleh itu, Baginda memperkenankan sekolah khas di Bintulu yang terbesar di Malaysia,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Sarawak Agrofest 2025 di Lapangan Terbang Lama Bintulu pada Sabtu.

Selain itu, Premier Sarawak turut melancarkan logo “Sarawak Veterinary Registered” dan menyampaikan beberapa anugerah iaitu Usahawan Jaya Tanaman Makanan, Usahawan Jaya Industri Asas Tani, Usahawan Jaya Perikanan Darat, Anugerah Pertubuhan Peladang Kawasan Jaya, Anugerah Penternak Jaya dan Ikon Agropreneur Sarawak.

Hadir sama, Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Professor Dr Sim Kui Hian, Speaker Dewan Undangan Negeri Sarawak, Tan Sri Datuk Amar Mohamad Asfia Awang Nasar, Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Dato Sri Tiong King Sing, Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah Sarawak, Dato Sri Dr Stephen Rundi Utom, barisan Menteri dan Timbalan Menteri, Ketua-ketua Jabatan serta tetamu kenamaan lain. -EDISI UKAS