SRI AMAN: Kejohanan Tinju Terbuka Sarawak E4/2025 (Junior) terus mendapat perhatian apabila memasuki hari ketiga dengan memperlihatkan deretan aksi sengit serta bakat-bakat muda yang kian menyerlah dalam arena sukan tempur itu.
Pertandingan yang menghimpunkan atlet belia dari seluruh Sarawak ini bukan sahaja menjadi medan menggilap potensi, malah membuka ruang kepada mereka untuk menimba pengalaman sebagai persediaan bersaing di pentas lebih tinggi.
Dalam kategori junior, beberapa keputusan mencuri tumpuan apabila Muhamad Arif Ariffin Khalik menjuarai kelas Minimum Flyweight (42kg), diikuti Lemuel Marupei Salim yang mengungguli kelas Minimum Light Fly (44kg) serta Muhammad Nazran Abdullah dalam Pin Weight (46kg).
Aksi bertenaga turut dipamerkan oleh Dominic Jampi yang menjuarai kelas Light Welterweight (48kg), Teo Hudsun di Flyweight (50kg), manakala Cyrill Cyventxaxier Engkalik Tithomas L mencatat kemenangan dalam Light Bantamweight (52kg).
Tidak kurang hebat, Muhammad Irfan Mohamad Ishak memastikan kemenangan di Bantam Weight (54kg), disusuli kejayaan Mohammad Zakwan Kamaruddin dalam Featherweight (57kg), serta Dani Izacc Muhd Faiz yang mendominasi Lightweight (60kg).
Dalam kategori lebih berat, Mohammad Rozmey Abdullah Roslan menguasai Light Welter (63kg), Ryan Fabiono Maikclay muncul juara Welterweight (67kg), manakala Tristan Aeden Minggu tidak mengecewakan dalam Light Middleweight (71kg).
Sementara itu, Nur Muhammad Maatin menewaskan lawannya dalam aksi dramatik kelas Heavyweight (75kg).
Bagi kategori Sukan Malaysia (SUKMA) Age, tiga juara baharu dinobatkan iaitu Reuben Haruaki Kobayashi (Bantamweight 54kg), Nurazha Ibrahim (Light Middle 71kg), serta Anderton Tie Teck Hieng yang unggul dalam Cruiserweight (86kg).
Acara wanita juga tidak kurang hebatnya apabila Siti Nur Anissa Stephen Gadoh mengungguli kelas Feather (57kg), manakala Eurenia Joachin tampil juara dalam Light Welter (63kg).
Secara keseluruhannya, penganjuran kali ini membuktikan sukan tinju Sarawak mempunyai barisan pelapis yang berdaya saing dengan semangat juang tinggi.
Kejohanan ini bukan sahaja melahirkan atlet berpotensi, malah memberi pendedahan awal kepada mereka dalam persiapan menghadapi temasya SUKMA akan datang.—EDISI UKAS