LUNDU: Daerah Lundu yang menjadi lokasi terakhir ‘Project of Dreams Realised’ (PRO-DR) Roadshow 2025, yang berlangsung di Dewan SMK Lundu menjadi saksi pengumuman beberapa inisiatif penting bernilai jutaan ringgit dalam sektor pendidikan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Billy Sujang.
Billy dalam ucapannya menegaskan bahawa pendidikan merupakan kunci utama masa depan negeri dan menyeru para pelajar agar memanfaatkan peluang PRO-DR Roadshow untuk memperkasa pengetahuan, kemahiran digital serta merancang kerjaya dengan yakin.
“Adik-adik pelajar adalah aset paling berharga negeri ini kerana masa depan Sarawak terletak pada usaha, disiplin dan semangat anda semua,” tegasnya semasa berucap dalam majlis perasmian program berkenaan, di sini, pada Jumaat.
Dalam pada itu, Billy mengumumkan beberapa projek besar termasuk peruntukan RM200,000 untuk naiktaraf Dewan Makan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Lundu yang kini dalam pembinaan, RM150,000 bagi kerja baik pulih bahagian belakang pentas dewan sekolah tersebut, serta tambahan RM150,000 untuk menaiktaraf dapur Dewan Makan SMK Lundu di bawah Projek Transformasi Luar Bandar (RTP).
Tumpuan turut diberikan kepada sekolah rendah apabila Sekolah Kebangsaan (SK) Sebako diluluskan peruntukan RM350,000 bagi pembinaan kuarters guru baharu, di samping perancangan projek mega pembinaan semula blok sekolah SK Sebako dengan kos RM5 juta melalui dana Agensi Penyelarasan Pembangunan Greater Kuching (GKCDA) yang akan dimuktamadkan dalam mesyuarat GKCDA pada 28 Ogos 2025.
Dalam aspek pembangunan teknologi dan kemahiran abad ke-21, Billy turut menyalurkan RM15,000 untuk menubuhkan T&T Mini Lab di SMK Lundu, sebuah platform pembelajaran inovatif yang bakal melahirkan generasi pelajar lebih kreatif, inovatif dan berdaya saing.
PRO-DR Roadshow edisi ke-10 ini berjaya menghimpunkan lebih 30 institusi dan agensi yang memberi pendedahan kepada pelajar mengenai laluan pendidikan, TVET, sains dan teknologi, latihan profesional serta kemahiran abad ke-21.
Billy turut merakamkan penghargaan kepada pihak TEGAS, sekolah, Pejabat Pendidikan Daerah, ketua jabatan serta komuniti setempat yang menyumbang kepada kejayaan PRO-DR Roadshow 2025.
Hadir sama, wakil Residen Bahagian Kuching Joseph Liaw, wakil Pegawai Daerah Lundu Anwar Fakhriyuddin, Ketua Pegawai Eksekutif TEGAS Udin Bujang dan Pengetua SMK Lundu Azizan Madlihi. -EDISI UKAS