PWKM Tonggak Pembangunan, Rakan Strategik Kerajaan

Disiarkan pada 23 Aug 2025
Sumber Berita: UKAS


SIBURAN: Persatuan Wanita Kawasan Mambong (PWKM) menjadi tonggak pembangunan dalam masa yang sama bertindak sebagai rakan strategik penting kerajaan dalam menjayakan agenda pembangunan sosial dan ekonomi di kawasan Mambong.

Timbalan Menteri Pengangkutan Sarawak (Udara dan Jalan) merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Mambong, Datuk Dr Jerip Susil menegaskan, wanita Mambong melalui PWKM telah membuktikan keupayaan mereka menjadi pemacu perubahan positif dalam komuniti.

Menurut beliau, wanita bukan sahaja tonggak keluarga tetapi juga merupakan aset penting dalam pembangunan masyarakat dan negara.

“Peranan PWKM sebagai rakan strategik kerajaan amat signifikan kerana mampu menjayakan inisiatif berkaitan pendidikan, ekonomi, kebajikan serta pemerkasaan kemahiran digital.

“Justeru, kerajaan bersama Pejabat Pusat Khidmat Dewan Undangan Negeri (DUN) Mambong akan terus memberikan sokongan penuh kepada PWKM bagi memperkukuh jaringan kerjasama dengan pelbagai agensi, sektor swasta dan badan bukan kerajaan (NGO),” ujarnya semasa berucap dalam Majlis Makan Malam Apresiasi PWKM 2025, di sini, pada Jumaat.

Mengulas lanjut, beliau memberitahu PWKM telah menunjukkan bahawa kekuatan sebenar wanita bukan hanya pada membina keluarga yang sejahtera, tetapi juga dalam membina masyarakat yang progresif.

“Kita mahu wanita Mambong terus menjadi inspirasi kepada generasi muda dan menjadi sebahagian daripada perjalanan pembangunan Sarawak,” katanya.

Sebagai simbolik penghargaan, Datuk Dr Jerip turut menyampaikan Sijil Penyertaan ‘Food Handler Training’ yang diiktiraf oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Program berkenaan melibatkan 28 ahli PWKM dan dianjurkan di Kolej Komuniti Mas Gading sebagai usaha memperkasa pengetahuan dan kemahiran ahli.

Hadir sama, Pegawai Tadbir Menguasa Pejabat Daerah Kecil Padawan Julius Scott Sapong, Penasihat PWKM merangkap Ahli Majlis Perbandaran Padawan Rosline Lasek, Pengerusi PWKM Niput Ahip serta Ketua Wanita Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Cawangan Mambong Kasean Nena. -EDISI UKAS