Tema Kain Pelikat Serikan Miri City Car-Free Day 2025

Disiarkan pada 23 Aug 2025
Sumber Berita: UKAS


MIRI: Penganjuran Miri City Car-Free Day 2025 tampil lebih unik tahun ini apabila mengetengahkan tema kain pelikat yang sarat dengan nilai simbolik, sekali gus menceriakan suasana sambutan di bandar raya ini.

Datuk Bandar Miri merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pujut, Adam Yii Siew Sang berkata, pemilihan kain pelikat bukan sekadar sebagai pakaian tradisional, malah melambangkan kesederhanaan, tradisi dan perpaduan rakyat Malaysia.

“Kain pelikat adalah simbol kehidupan yang sederhana, mengingatkan kita kepada budaya dan akar tradisi yang menjadi asas kepada perpaduan masyarakat. Ia selaras dengan semangat Car-Free Day yang bukan hanya menekankan kelestarian alam sekitar, tetapi juga nilai budaya yang menyatukan rakyat,” katanya ketika merasmikan program tersebut di perkarangan Dewan Bandaraya Miri pada Sabtu.

Selain aktiviti riadah, beliau berkata, sambutan kali ini turut dimeriahkan dengan sukan rakyat seperti melastik tradisional, memanah tradisional dan permainan warisan lain yang membangkitkan nostalgia di samping memupuk semangat kebersamaan.

Menurutnya, Car-Free Day memberi ruang kepada masyarakat untuk berjalan kaki, berbasikal, berlari dan menikmati udara segar tanpa gangguan kenderaan, sambil mengeratkan hubungan sesama keluarga serta komuniti.

Yii menegaskan, penganjuran tersebut sejajar dengan Matlamat Pembangunan Mampan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (SDG), iaitu SDG 3 (Kesihatan Baik dan Kesejahteraan), SDG 11 (Bandar dan Komuniti Mampan) serta SDG 13 (Tindakan Iklim).

“Matlamat kita jelas – menggalakkan gaya hidup sihat, mewujudkan ruang awam yang selamat, berkongsi ilmu melalui pemeriksaan kesihatan dan pameran, serta memperkukuh kerjasama antara kerajaan, NGO, sektor swasta dan komuniti,” ujarnya.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada Pengerusi Jawatankuasa Tetap SDG MBM, Kaunselor Jamil Bujang serta jawatankuasanya yang telah memastikan kelancaran penganjuran.

Antara pengisian program ialah briskwalk, larian santai, aktiviti berbasikal, pickleball, cabaran lastik, pemeriksaan kesihatan percuma serta pameran pendidikan yang berjaya menarik penyertaan ratusan warga bandar raya.-EDISI UKAS