AgriCOP Perkukuh Transformasi Pertanian Luar Bandar

Disiarkan pada 23 Aug 2025
Sumber Berita: UKAS


BINTULU: Program Jangkauan Komuniti Pertanian (AgriCOP) terus membuktikan keberkesanannya sebagai pemangkin transformasi sektor pertanian luar bandar apabila seramai 250 peserta daripada 12 rumah panjang menyertai program tersebut yang berakhir di Rumah Tabor Lasah, Sungai Sera, Sebauh.

Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah Sarawak (M-FICORD), Dato Sri Dr. Stephen Rundi Utom berkata, AgriCOP bukan sahaja mendekatkan perkhidmatan Jabatan Pertanian (DOA) kepada komuniti kampung dan rumah panjang, malah menjadi platform penyampaian ilmu serta kaedah pertanian moden kepada masyarakat tani.

“AGRICOP ini adalah satu program yang kita bawa agar dekat dengan komuniti yang tinggal di kampung ataupun rumah panjang.

“Malah program ini juga merupakan platform untuk DOA berkongsi maklumat serta kaedah terkini sektor pertanian agar memudahkan para pengusaha sekaligus memantapkan sektor pertanian,” katanya pada majlis penangguhan AgriCOP di Rumah Tabor Lasah, Sungai Sera, Sebauh, pada Jumaat.

Beliau menegaskan, penganjuran AgriCOP juga bertujuan menarik minat graduan muda dan belia menceburi sektor pertanian yang kini lebih mudah diusahakan melalui penggunaan mesin berteknologi tinggi serta pelbagai inisiatif kerajaan seperti rumah hijau, pertanian pintar dan agropark.

Menurutnya, teknologi berasaskan Internet Benda (IoT) sudah mula diperkenalkan dalam pertanian moden, termasuk di Pusat Latihan Pertanian (ATC) Sungai Sebiew yang membangunkan projek pertanian jitu (precision farming).

“Melalui teknologi ini kelak kerja-kerja di lapangan dapat dikawal dari jauh menggunakan internet, sekali gus mengurangkan kebergantungan kepada tenaga kerja manual.

“Saya berharap golongan muda berani mempelajari teknologi baharu ini melalui latihan yang disediakan, di mana mereka akan diberi plot tanah dan rumah hijau sebagai model untuk memulakan perusahaan pertanian moden,” jelasnya.

Mengulas cadangan projek agropark, beliau memuji kepimpinan Tuai Rumah Tabor yang proaktif menyokong inisiatif kerajaan, namun menekankan agar komuniti bijak memilih produk berpotensi tinggi dari segi nilai pasaran dan permintaan.

“Kita mahu kepimpinan di peringkat kampung dan rumah panjang menjadi penghubung dengan kerajaan dalam menguar-uarkan program serta inisiatif yang dapat meningkatkan ekonomi isi rumah.

“Namun, setiap projek perlu dilihat dari segi nilai pasaran agar usaha ini benar-benar memberi pulangan,” tegasnya.

Dato Sri Dr. Stephen Rundi turut mengingatkan agar segala ilmu yang dipelajari melalui AgriCOP diamalkan secara berterusan demi kelangsungan sektor pertanian, di samping mengajak masyarakat tani melengkapkan diri dengan pengetahuan IoT supaya tidak ketinggalan berbanding negara maju yang kini sepenuhnya bergantung kepada teknologi pintar.

Pada majlis itu, beliau turut mengumumkan peruntukan RM300,000 melalui Projek Transformasi Luar Bandar (RTP) kepada Rumah Tabor Lasah serta RM30,000 kepada Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) rumah panjang tersebut.

Sementara itu, Timbalan-Timbalan Menteri M-FICORD, Datuk Dr. Abdul Rahman Ismail dan Datuk Maclaine @ Martin Ben masing-masing menyumbang RM10,000 kepada Biro Wanita Rumah Tabor Lasah.

Turut hadir dalam majlis ini ialah Residen Bahagian Bintulu Datu Nyurak Keti dan Pengarah Jabatan Pertanian Sarawak Dominic Chunggat.-EDISI UKAS