UiTM Sarawak Kampus Samarahan Menjadi Jambatan Global Hubungkan Pelajar & Pengajar

Disiarkan pada 23 Aug 2025
Sumber Berita: UKAS


KOTA SAMARAHAN: Universiti Teknologi MARA (UiTM) Sarawak Kampus Samarahan mengukuhkan peranannya sebagai jambatan global yang menyatukan pelajar dan tenaga akademik dari pelbagai negara melalui pendidikan, budaya dan persahabatan.

Rektor UiTM Cawangan Sarawak, Profesor Dr Firdaus Abdullah menyifatkan program ini sebagai lebih daripada sekadar agenda akademik.

“Come Discover Bumi Kenyalang 2025 (CDBK2025) bukan sekadar program mobiliti, tetapi sebuah jambatan persahabatan yang menghubungkan kita merentas sempadan budaya.

“Sepanjang seminggu, para peserta telah melangkah keluar dari zon selesa, merasai sendiri kepelbagaian dan menemui kekuatan baharu dalam diri mereka,” katanya semasa berucap dalam majlis penutupan CDBK2025, di sini, pada Jumaat.

Edisi ketiga CDBK berjaya menghimpunkan 40 peserta antarabangsa dari Kemboja, China dan Indonesia, melibatkan pelajar serta staf dari National University of Management, Guangxi Minzu Normal University, Quanzhou Technical & Vocational University, serta Universitas Panca Bhakti (UPB), Pontianak.

Profesor Dr Firdaus turut menegaskan komitmen UiTM Sarawak untuk terus memperluas rangkaian global melalui pelbagai MoU dan MoA dengan universiti antarabangsa.

“Semua usaha ini demi memastikan generasi kita mampu berdiri sama tinggi dengan rakan antarabangsa. Nilai pengalaman yang diperoleh tidak diukur dengan gred atau sijil, sebaliknya melalui tawa, pelajaran berharga dan keyakinan diri yang terpahat di hati,” tambahnya.

Sepanjang program, peserta didedahkan dengan pengalaman unik berasaskan budaya Sarawak termasuk Jom Klaka Bahasa Sarawak, pembuatan kek lapis, permainan tradisional, cabaran luar, lawatan budaya serta persembahan tarian etnik, menjadikan CDBK25 sebagai ruang sebenar untuk memahami keharmonian masyarakat berbilang kaum di Bumi Kenyalang.

Sebelum merasmikan penutupan, beliau menyeru para peserta untuk menjadi Duta Kecil Sarawak di negara masing-masing dengan berkongsi pengalaman dan persahabatan yang terjalin.

Hadir sama, Penolong Naib Canselor (Antarabangsa) UiTM Global Profesor Madya Datin Dr Norazida Mohamed, Pengarah Jabatan Kedudukan UiTM Global Profesor Madya Ts Dr Rosdiana Hasham, Pengarah Perhubungan Perkongsian Strategik UiTM Global Profesor Madya Dr Wan Fairos Wan Yaacob, Naib Rektor MT Kerjasama Universitas Panca Bakhti (UPB) Ir Arif Parabi, Pengarah Jaminan Kualiti UPB Profesor Dr Ir Rahmatullah Rizieq dan Penyelaras UiTM Global Sarawak Dr Wan Juliana Emeigh Wahed. -EDISI UKAS