LUNDU: Festival Tari dan Lagu Melayu Asli (FTLA) ke-35 Peringkat Zon Selatan 2025 membuka tirai dengan meriah di CENTEXS Kampus Lundu, menampilkan persembahan berteras warisan budaya Melayu asli.
Program anjuran Majlis Seni Sarawak itu turut dihadiri Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Opar, Billy Sujang pada Jumaat.
Malam pembukaan menyaksikan Pertandingan Tarian Melayu Asli dengan penyertaan sembilan pasukan, diikuti Pertandingan Nyanyian Lagu Melayu Asli yang menampilkan lapan peserta lelaki dan perempuan.
Persembahan bertenaga para penari dan penyanyi bukan sahaja mengangkat kehalusan gerak tari dan lenggok vokal Melayu asli, malah menyerlahkan kreativiti koreografi serta penghayatan muzik tradisi.
FTLA akan diteruskan pada hari kedua dengan Sesi Ngelakar Seni pada sebelah pagi, platform wacana dan perkongsian ilmu seni sebelum pentas kembali hangat pada sebelah malam dengan sambungan Pertandingan Tarian serta Nyanyian Lagu Melayu Asli.
Penganjuran FTLA Zon Selatan tahun ini diharapkan dapat memperkukuh jaringan komuniti seni tempatan, mengetengahkan bakat baharu dan memastikan kesinambungan warisan seni tari serta lagu Melayu asli agar terus hidup dalam kalangan generasi muda.-EDISI UKAS