17 Pertubuhan di Daro Terima Geran MRP RM74,000

Disiarkan pada 23 Aug 2025
Sumber Berita: UKAS


DARO: Sebanyak 17 pertubuhan melibatkan persatuan, jawatankuasa dan biro di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) N.43 Daro menerima Geran Projek Kecil Luar Bandar (MRP) berjumlah RM74,000.

Majlis penyampaian sumbangan tersebut disempurnakan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Daro Safiee Ahmad di Pusat Khidmat DUN Daro.

Dalam ucapannya, beliau menekankan agar penerima menggunakan peruntukan berkenaan dengan sebaiknya bagi melaksanakan program yang memberi manfaat besar kepada masyarakat serta meninggalkan kesan positif jangka panjang.

“Setiap inisiatif kecil yang dijalankan mampu membawa kesan besar sekiranya dilaksanakan dengan komitmen dan perancangan teliti,” katanya.

Menurut beliau, geran tersebut bukan sahaja menggalakkan persatuan bergerak lebih aktif, malah berperanan sebagai platform mengeratkan perpaduan masyarakat serta menyokong pembangunan sosial, kebudayaan, pendidikan dan kemasyarakatan di kawasan Daro.

Turut hadir pada majlis berkenaan ialah Jurutera Daerah JKR Matu Daro Faizol Hashim, wakil Pegawai Daerah Daro Mohammad Madzihi Mohd Musa, Kr. Hamden Taha dan Kr. Mohd Suffian Fauzi.-EDISI UKAS