KUCHING: Pementasan teater Kasih Padi Bonda arahan Rushdi Mornie Daud berjaya menyentuh hati penonton apabila mengisahkan Dara, seorang ibu tabah yang berkorban demi melihat anak-anaknya berjaya selepas pemergian suami tercinta.
Naskhah karya Nooruddin Ismail Talab itu dipentaskan di Balai Budaya, Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) Cawangan Sarawak dengan penuh emosi, menyingkap nilai kasih sayang, ketabahan, pengorbanan dan perjuangan hidup yang dekat dengan masyarakat.
Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Hal Ehwal Korporat, Penerangan dan UKAS), Datuk Abdullah Saidol menzahirkan penghargaan kepada tenaga produksi dan DBP atas penganjuran karya yang bukan sahaja menampilkan pelakon berpengalaman, malah melibatkan penyertaan pelajar sekolah rendah dan menengah.
"Pementasan ini bukan sahaja menarik dari segi persembahan pentas, tetapi juga kerana melibatkan ramai warga belia.
"Saya mengagumi gabungan pelakon veteran dengan adik-adik sekolah rendah dan menengah. Tahniah kepada produksi ini kerana berjaya menyampaikan mesej tentang pengorbanan seorang ibu dengan begitu berkesan,” katanya ketika hadir menyaksikan pementasan berkenaan di Balai Budaya DBP Cawangan Sarawak di sini, malam Jumaat.
Beliau dalam pada itu mengakui cabaran utama kumpulan teater masa kini ialah mendapatkan ruang latihan yang sesuai.
"Cuma yang menjadi cabaran mereka ialah untuk mencari tempat yang sesuai untuk mereka berlatih dan sebagainya.
"Dan insya-Allah, dalam masa dua tahun lebih daripada sekarang, pusat kesenian yang sedang dibina di bangunan DUN lama akan siap. Saya yakin aktiviti kesenian seperti teater, muzikal dan banyak lagi persembahan pentas lain akan lebih menggalakkan,” ujarnya.
Datuk Abdullah turut berharap agar pementasan teater dapat diperluaskan ke luar bandar supaya masyarakat di daerah lain juga berpeluang menikmati seni pentas yang berkualiti serta dekat di hati rakyat.
Menurutnya, seni teater bukan sahaja berfungsi sebagai hiburan, malah berperanan mendidik masyarakat melalui penyampaian mesej yang dekat dengan realiti kehidupan seharian rakyat.
Teater Kasih Padi Bonda sekali lagi membuktikan bahawa seni pentas bukan sekadar hiburan, sebaliknya medium berkesan dalam menyampaikan mesej kemanusiaan serta memperkukuh nilai budaya bangsa.
Majlis tersebut turut dihadiri Pengarah DBP Cawangan Sarawak, Dr. Azizul Haji Ismail; Pengarah Jabatan Pendaftaran Negara Negeri Sarawak, Mahathir Buang; Pengarah Unit Keselamatan dan Penguatkuasaan Sarawak, Abdul Wahab Rahim; Pengarah Institut Pendidikan Guru Kampus Batu Lintang, Dr. Abang Ismail Haji Julhi serta Pengerusi Pertubuhan Insan Dramatis Bintang Cahaya Kuching, Noor Kartika Rushdi.-EDISI UKAS