KUCHING: Inovasi dan integriti diangkat sebagai dua teras penting dalam memperkukuhkan pengurusan tanah di Sarawak selaras dengan matlamat kerajaan untuk membangunkan negeri ini sebagai sebuah wilayah maju dan berpendapatan tinggi menjelang tahun 2030.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg menegaskan bahawa kedua-dua aspek ini ibarat dua sayap yang mengangkat Jabatan Tanah dan Survei (JTS) ke tahap yang lebih tinggi dalam menyokong agenda pembangunan negeri.
“Inovasi memastikan kita sentiasa bergerak ke hadapan dengan penyelesaian baharu yang kreatif dan berkesan, manakala integriti memastikan setiap langkah yang kita ambil berlandaskan prinsip kejujuran, keadilan, dan amanah,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam teks ucapan yang dibacakan oleh Timbalan Premier Sarawak merangkap Menteri Sumber Asli dan Pembangunan Bandar (MUDeNR) Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan pada majlis perasmian penutupan Hari Inovasi dan Integriti Tanah dan Survei Sarawak 2025 di sebuah hotel, di sini, pada Jumaat.
Premier Sarawak turut melahirkan rasa bangga terhadap kejayaan program penyukatan tanah di bawah Seksyen 6 Kanun Tanah, di mana lebih 1.2 juta hektar tanah telah disukat dan lebih 900,000 hektar daripadanya telah digazet.
Usaha ini, katanya, menjadi bukti komitmen JTS dalam menjaga hak rakyat, khususnya berkaitan dengan tanah Hak Adat Bumiputera (NCR), yang kini turut diberi tumpuan melalui pengeluaran surat hak milik.
Premier Sarawak turut menekankan keperluan untuk terus memperkukuh budaya inovasi dalam kalangan warga perkhidmatan awam, sambil memastikan setiap inovasi dilaksanakan dengan penuh tanggungjawab dan akauntabiliti.
Penekanan terhadap dokumentasi yang jelas serta penguatkuasaan undang-undang yang adil menjadi aspek penting dalam menjamin kepercayaan semua pihak, tambah beliau.
Turut hadir ialah Timbalan Menteri Perancangan Bandar, Pentadbiran Tanah dan Alam Sekitar Datuk Len Talif Salleh, Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Integriti dan Ombudsman) Datuk Dr. Juanda Jaya dan Pengarah JTS Sarawak Awang Zamnhari Awang Mahmood.-EDISI UKAS