Cadangan Penubuhan Komuniti Media Simanggang Dipertimbangkan

Disiarkan pada 22 Aug 2025
Sumber Berita: UKAS


SRI AMAN: Cadangan untuk menubuhkan Komuniti Media Simanggang dipertimbangkan sebagai usaha menyelaraskan penyebaran maklumat pembangunan di kawasan ini.

Residen Bahagian Sri Aman, Mahra Salleh berkata, selain menyebarluaskan lagi maklumat di kawasan Sri Aman, komuniti ini juga membuka ruang kepada pengamal media untuk menyalurkan maklumat yang sahih dan tepat kepada masyarakat.

“Ia dapat menyelaraskan maklumat berkaitan pembangunan Sri Aman selain dapat melaksanakan pelbagai program bersama.

“Selain daripada itu, ia juga diyakini membuka ruang kepada pengamal media untuk menyalurkan informasi sahih dan tepat kepada masyarakat,” katanya semasa berucap dalam Simanggang Media Talk, di sini, pada Jumaat.

Menyentuh mengenai program tersebut, Mahra menambah bahawa tujuan utama penganjuran Media Talk Simanggang 2025 adalah untuk memperkasakan komuniti media dengan hala tuju yang jelas bagi membangunkan Sri Aman.

“Media berperanan menyampaikan berita yang benar dan sahih malah ia menjadi medium penting untuk menyebarkan hala tuju pembangunan yang betul dan jelas selaras dengan Strategi Pembangunan Pasca Covid-19 (PCDS) 2030,” ujarnya.

Beliau turut menegaskan peranan media dalam membantu kerajaan memastikan masyarakat tidak terpengaruh dengan maklumat negatif serta menangkis khabar angin yang boleh menjejaskan keharmonian.

Program yang dianjurkan oleh Unit Komunikasi Awam Sarawak (UKAS) Bahagian Sri Aman ini telah menghimpunkan lebih 40 pengamal media di Simanggang.

Turut hadir, Pegawai UKAS Bahagian Sri Aman Zaidil Ripin, Pengawal Penyiaran Radio Televisyen Malaysia (RTM) Sri Aman Snah Ukong, Pegawai Penerangan Daerah Sri Aman Safariza Bujang dan Pegawai Penerangan Daerah Lubok Antu Juing Ullie. -EDISI UKAS