SARIKEI: Penerima dana daripada pihak kerajaan diseru untuk memanfaatkan wang berkenaan sebaiknya menerusi penganjuran program yang memberi impak positif kepada masyarakat.
Timbalan Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Dato Sri Huang Tiong Sii berkata, dana yang diberikan bukanlah untuk perkembangan persatuan atau kelab semata-mata, sebaliknya memberi manfaat kepada komuniti setempat.
Beliau berkata demikian semasa berucap dalam Majlis Penyerahan Cek Projek Kecil Luar Bandar (MRP) bagi kawasan Parlimen Sarikei, pada Jumaat.
Dalam majlis tersebut, Dato Sri Huang yang juga Ahli Parlimen Sarikei dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Repok telah menyampaikan cek kepada 15 pertubuhan di kawasan Sarikei.
Penerima terdiri daripada pelbagai persatuan, kelab, pertubuhan kakitangan kerajaan, Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) serta sekolah dengan tujuan menyokong pelaksanaan program tahunan serta meningkatkan kebajikan komuniti setempat.
Antaranya ialah Komuniti Madani Repok, Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sungai Paoh, Badan Ibadah Kebajikan Islam Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sarikei, JKKK Empaling Lanyau dan banyak lagi. -EDISI UKAS