KUCHING: Alumaster, melalui jenama Classic Emas, mencatat sejarah sebagai penyedia aluminium pertama di Sarawak yang memperoleh pensijilan berganda daripada SIRIM dan Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan (CIDB), sekali gus menandakan satu kemajuan penting dalam sektor pembinaan negeri ini.
Pengarah Urusan Classic Emas, William Koh Wee Loong berkata, pengiktirafan tersebut mencerminkan pengalaman syarikat selama empat dekad serta keupayaan untuk menyesuaikan diri dengan reka bentuk perumahan yang semakin berkembang.
“Arkitek pada hari ini membina bangunan yang lebih tinggi dan besar, dan sistem kami perlu berkembang bagi memenuhi tuntutan tersebut. Pensijilan memastikan kami mematuhi piawaian antarabangsa dan kekal berdaya saing,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita dalam Ekspo Hartanah SHEDA di Pusat Konvensyen Borneo Kuching di sini pada Jumaat.
Proses pensijilan yang mengambil masa setahun setengah itu menilai PCW 1000 Window System dan PSD 1000 Sliding Door System keluaran Alumaster.
Kedua-dua produk berkenaan diuji dari segi ketahanan terhadap beban angin, kecekapan tenaga, serta keupayaan pengurangan bunyi melalui teknologi kaca berganda.
William Koh turut menekankan kelebihan aluminium dari sudut kelestarian, dengan kadar kitar semula melebihi 90 peratus.
“Berbeza dengan kayu, aluminium boleh dikitar semula dengan lebih efisien, menjadikan penyelesaian kami bukan sahaja tahan lama tetapi juga mesra alam,” jelasnya.
Dengan pencapaian ini ujarnya, Alumaster menggabungkan legasi Classic Emas dengan inovasi moden, sekali gus menawarkan keyakinan lebih tinggi kepada pemaju dan pemilik rumah di Sarawak terhadap penyelesaian perumahan yang selamat, lestari dan bersedia untuk masa depan.