Ordinan Pembangunan Perumahan & Bangunan Dijangka Dibentang Pada Sidang DUN Akan Datang

Posted on 22 Aug 2025
Source of News: UKAS


KUCHING: Ordinan Pembangunan Perumahan (HDO) dan Ordinan Bangunan Perumahan dijangka akan dibentangkan pada sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak akan datang.

Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Prof. Dr. Sim Kui Hian berkata ordinan tersebut penting bagi memastikan Sarawak terus seiring dengan keperluan semasa di samping memperkukuh autonomi negeri dalam urusan perumahan dan pembinaan.

“Saya telah dimaklumkan oleh Peguam Besar Negeri (SAG) bahawa Ordinan Pembangunan Perumahan dan Ordinan Bangunan akan dibentangkan pada persidangan yang akan datang.

"Kita benar-benar mahu perkara ini dilaksanakan kerana banyak pihak berkepentingan termasuk Persatuan Pemaju Perumahan dan Hartanah Sarawak (SHEDA), Bomba dan Pertubuhan Arkitek Malaysia-Cawangan Sarawak telah memberi sumbangan besar dalam hal ini.

"Ini adalah tentang mengejar perkembangan semasa serta mengukuhkan hak Sarawak di bawah autonomi,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucapannya sempena Ekspo Hartanah SHEDA di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK) pada Jumaat.

Jelasnya, ramai pihak termasuk SHEDA, Bomba dan Pertubuhan Akitek Malaysia-Cawangan Sarawak (PAM) telah memberi sumbangan dalam usaha ini kerana perlu bergerak seiring dengan perkembangan masa.

Datuk Amar Profesor Dr. Sim turut menyentuh mengenai sokongan kewangan untuk SHEDA:ENCORE, dengan menyatakan bahawa sumbangan boleh disalurkan melalui pelbagai agensi, namun Premier Sarawak akan memainkan peranan utama.

Beliau menambah bahawa agensi lain termasuk Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan (CIDB) Malaysia juga boleh menyediakan peruntukan, namun sumbangan daripada Premier akan menjadi bahagian utama sokongan tersebut. -EDISI UKAS