Ekspo Hartanah SHEDA 2025 Tonjol Trend Gaya Hidup Baharu & Kehidupan Lestari

Posted on 22 Aug 2025
Source of News: UKAS


KUCHING: Ekspo Hartanah SHEDA 2025 bukan sahaja berfungsi sebagai platform pameran hartanah, tetapi turut mencerminkan kemajuan, inovasi serta komitmen Sarawak dalam membangunkan komuniti yang lestari dan inklusif.

Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg menegaskan bahawa pemilikan rumah terus menjadi pemacu penting transformasi ekonomi.

Beliau menekankan bahawa trend gaya hidup yang kian berkembang seperti rumah mini, pembangunan berorientasikan transit, taman menegak, serta ruang komuniti bersama mencerminkan aspirasi generasi baharu dalam cara mereka memilih untuk tinggal, bekerja dan berhubung antara satu sama lain.

“Marilah kita menyambut perubahan dengan penuh ketabahan, dan bersama-sama membina bukan sekadar hartanah, tetapi masa depan yang lestari,” katanya menerusi teks ucapan yang dibacakan oleh Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Prof. Dr. Sim Kui Hian, sempena Ekspo Hartanah SHEDA 2025 di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK) pada Jumaat.

Selaras dengan Strategi Pembangunan Pasca-COVID-19 (PCDS) 2030, Premier Sarawak menegaskan komitmen Sarawak untuk membina 20,000 unit rumah mampu milik antara tahun 2026 hingga 2030.

Jelasnya, projek-projek ini akan menggunakan teknologi pembinaan moden seperti Sistem Binaan Berindustri (IBS) dan Pemodelan Maklumat Bangunan (BIM) bagi memastikan keberkesanan, kualiti serta kelestarian jangka panjang.

Dalam pada itu, ekspo tersebut turut menyaksikan pelancaran logo baharu Institut SHEDA dan pelancaran SHEDA:ENCORE, sebuah platform kolaboratif yang bertujuan memudahkan perkongsian ilmu serta kerjasama dalam kalangan pemegang taruh industri.

Berlangsung selama tiga hari, acara di BCCK ini menampilkan 52 reruai pameran selain ceramah mengenai perancangan kewangan, trend pasaran hartanah, serta feng shui rumah.

Hadir sama, Timbalan Menteri Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan Sarawak Datuk Micheal Tiang Ming Tee, Ahli Parlimen Tanjung Manis merangkap Pengerusi CIDB Malaysia Ir Yusuf Abdul Wahab serta dif-dif kehormat. -EDISI UKAS