Adik Soleh Sembuh Selepas Pembedahan, Pulang Disambut Keriangan Keluarga

Posted on 22 Aug 2025
Source of News: UKAS


SERIAN: Kegembiraan jelas terpancar di wajah seorang kanak-kanak, Muhammad Soleh Muhammad Solihan dari Kampung Seniawan, apabila beliau dibenarkan pulang ke rumah selepas berjaya menjalani pembedahan di bahagian kepala baru-baru ini.

Pembedahan yang dijalankan pada 3 Ogos lalu bagi merawat pengumpulan cecair dalam tengkorak telah memberi harapan baharu kepada Soleh dan keluarganya.

Proses rawatan itu turut mendapat perhatian Timbalan Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah merangkap Ahli Parlimen Kota Samarahan, Datuk Rubiah Wang, yang menyalurkan sumbangan bagi membantu meringankan beban kewangan keluarga.

Sepanjang tempoh sembilan hari di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Umum Sarawak, Soleh berada di bawah pemantauan rapi pasukan perubatan. Kini, keadaan beliau dilaporkan stabil dan beransur pulih.

Datuk Rubiah bersama wakil Pusat Khidmat Parlimen Kota Samarahan menzahirkan doa agar Soleh terus dikurniakan kesihatan baik, seterusnya dapat kembali menjalani kehidupan normal sebagai seorang kanak-kanak yang penuh keceriaan dan impian masa depan.-EDISI UKAS