KUCHING: Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Tun Pehin Sri Dr. Wan Junaidi Tuanku Jaafar dan isteri Toh Puan Datuk Patinggi Fauziah Mohd Sanusi telah berkenan mengadakan sesi perjumpaan dan makan malam bersama Timbalan-Timbalan Premier Sarawak di kediaman rasmi beliau di Kasuma Resort, Petra Jaya malam tadi.
Tetamu khas pada majlis tersebut ialah Datuk Amar Douglas Uggah Embas, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan dan isteri Dato Dayang Morliah Awang Daud, serta Datuk Amar Prof. Dr. Sim Kui Hian dan isteri Dato Enn Siok Ean.
Turut hadir dalam perjumpaan ini ialah anakanda Tun Pehin Sri Dr. Wan Junaidi dan Toh Puan Datuk Patinggi Fauziah iaitu Sharifah Fariah, Sharifah Nong Jasmina dan Tasneem.
Pertemuan yang berlangsung dalam suasana mesra itu menjadi ruang penting untuk membincangkan isu-isu semasa berkaitan pembangunan, perundangan dan tadbir urus negeri Sarawak.
Tun Pehin Sri Dr. Wan Junaidi turut menzahirkan harapan agar Sarawak akan terus menikmati kestabilan dan kemajuan menyeluruh dengan adanya barisan kepimpinan negeri yang berkaliber, berwawasan serta sentiasa bekerjasama erat demi kesejahteraan rakyat.-EDISI UKAS
Foto: Astana Negeri Sarawak