Sarawak Hantar 38 Atlet & Pegawai Ke FESMAS XVII Johor 2025

Posted on 22 Aug 2025
Source of News: UKAS


KUCHING: Sarawak menghantar seramai 38 orang termasuk atlet dan pegawai bagi menyertai sembilan acara sukan pada Festival Sukan Majlis Sukan Negeri-negeri Se Malaysia (FESMAS) XVII Johor 2025 yang akan berlangsung di Johor Bahru dari 23 hingga 28 Ogos ini. FESMAS diadakan secara dwi-tahunan secara bergilir selepas di Pulau Pinang pada 2023 lepas.

Acara yang disertai kontinjen Sarawak termasuk orientering, dart, lawn bowls, bola tampar, 3 on 3 bola jaring, e-sukan, tenpin bowling VIP, golf VIP dan karaoke.

Penyerahan bendera kontinjen telah disempurnakan oleh Timbalan Setiausaha Tetap Kementerian Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan (MYSED), Dolhadi Marzuki yang mewakili Setiausaha Tetap MYSED kepada Pemangku Pengarah Majlis Sukan Negeri (MSN) Sarawak, Khairul Nizam Morshidi.

Secara keseluruhan, FESMAS XVII Johor 2025 menyaksikan penyertaan sebanyak 15 kontinjen merangkumi kesemua MSN negeri termasuk MSN Negara dan ISN kecuali MSN kedah.

Ia melibatkan seramai 808 orang terdiri daripada 586 atlet dan 222 pegawai daripada kontinjen Majlis Sukan Negeri seluruh negara.

Pada 2023, Sarawak turut menyerlah pada FESMAS XVI apabila meraih pingat perak dalam acara tenpin boling lelaki bergu dan gangsa dalam acara dart.-EDISI UKAS