MIRI: Melangkah ke hadapan, Kerajaan Sarawak telah memulakan perancangan dan pembangunan Taman Bioindustri Sarawak (SBP) di Samarahan untuk membangunkan dam mengkomersialkan perniagaan industri bio negeri ini.
Menurut Menteri Pengangkutan Sarawak Dato Sri Lee Kim Shin, kerajaan mengalu-alukan pelaburan dalam bioindustri, terutamanya dalam bioaktif, biokesihatan, biobahan, biotenaga dan biopersekitaran.
"SBP akan menyediakan lot perindustrian khusus untuk menyokong syarikat baharu yang ingin mencari atau mengembangkan operasi sedia ada mereka dalam perniagaan biopembuatan, saintifik, penyelidikan dan pembangunan dan teknologi tinggi.
"SBP sedang mencari pelaburan daripada syarikat dengan teknologi tinggi untuk menyokong usaha niaga muda dan syarikat yang berkembang pesat untuk peringkat pertumbuhan seterusnya," katanya.
Beliau berkata demikian semasa berucap pada sesi perkongsian Perubatan Tradisional Cina dan Moden di Universiti Curtin Miri di sini pada Khamis.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Senadin itu menambah, SBP yang mempunyai keluasan 100 ekar itu akan dibangunkan dalam 4 fasa bermula dari Fasa 1 yang terdiri daripada 25 ekar untuk Central Hub dan 5 plot perindustrian serta dijangka siap pada 2026.
Dalam pada itu, Dato Sri Lee bersama tetamu kehormat yang lain turut melakukan lawatan ke tapak pembinaan Kenyalang Smart City.
Hadir sama, Presiden Institut Perubatan Integratif Fudan Profesor Dong Jincheng dan Naib Canselor Pro & Presiden Universiti Curtin Miri Profesor Simon Leunig. -EDISI UKAS